Stories

5 detik menarik bolasepak Malaysia di antara Hari Merdeka dan Hari Malaysia

Kami mengimbau semula lima detik menarik yang berlaku dalam catitan sejarah bolasepak Malaysia sepanjang tempoh 16 hari di antara sambutan Hari Kemerdekaan dan juga Hari Malaysia. 

We are part of The Trust Project What is it?

Juarai Pestabola Merdeka 2013

Malaysia muncul juara pertandingan kedua tertua di Asia ini buat kali ke-12 secara keseluruhan dan kali kedua sejak ia dikhususkan kepada bawah 23 tahun. 

Prestij pertandingan ini pada hakikatnya tidak lagi sama seperti mana suatu masa dahulu yang pernah menarik pasukan-pasukan besar seperti Bahrain, Korea Selatan, Slovakia dan Uzbekistan apabila hanya empat pasukan mengambil bahagian, rata-ratanya pasukan yang sedang dalam persiapan untuk menghadapi Sukan SEA di Myanmar pada hujung tahun. 

Thailand menghantar pasukan pilihan mereka manakala Jordan pula menarik diri pada saat akhir menyebabkan Persatuan Bolasepak Malaysia memanggil Myanmar sebagai pengganti. 

Malaysia mengekalkan rekod bersih menang kesemua tiga perlawanan ke atas Singapura, Myanmar dan Pilihan Thailand di peringkat round-robin sebelum mengesahkan kejuaraan pada tanggal 14 September, dua hari sebelum sambutan Hari Malaysia ke-50 dengan menewaskan Myanmar 2-0 dalam aksi final menerusi jaringan Rozaimi Abdul Rahman dan juga Junior Eldstal.

Wan Zack Haikal Wan Noor dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan manakala Rozaimi pula memenangi kasut emas penjaring terbanyak dengan tiga gol.

Tumbangkan juara tiga kali Thailand di separuh akhir Sukan SEA 1987

Mungkin tiada hadiah Hari Malaysia yang lebih manis lebih daripada ini – pasukan negara melangkah ke perlawanan akhir Sukan SEA Jakarta 1987 dengan menumbangkan musuh tradisi Thailand di separuh akhir pada 16 September. 

Thailand ketika itu turun dengan reputasi hebat juara tiga edisi berturut-turut pada 1981, 1983 dan 1985 setelah merampas ibu segala emas itu dari tangan Malaysia dan pilihan untuk mempertahankannya sekali lagi. 
 
Setelah gagal merekodkan kemenangan dalam peringkat kumpulan apabila sekadar mencatat dua keputusan seri menentang Burma dan Singapura, jaringan daripada dua pemain bintang ketika itu Hassan Sani dan Dollah Salleh menghadiahkan kemenangan 2-0 buat Malaysia bimbingan Abdul Rahman Ibrahim di Stadium Istora Senayan. 

Ia mungkin kejayaan yang lebih manis jika Malaysia menoktahkan saingan selaku juara namun mereka terpaksa akur dengan kehebatan tuan rumah yang memenangi pingat emas menerusi jaringan emas pada masa tambahan.