Analysis

5 kaedah bagi meningkatkan tahap Piala Belia dan Presiden

FAM boleh menggunakan saingan Piala Belia dan Presiden sebagai pentas awal buat graduan NFDP yang gagal mendapat tempat dalam skuad utama negeri atau kelab dalam saingan Liga Super dan Premier.

We are part of The Trust Project What is it?

Saingan Piala Belia (Bawah 19) dan Piala Presiden (Bawah 21) sebenarnya mampu memainkan peranan penting dalam usaha kita menambah bilangan kelompok pemain berkualiti untuk negara.

Safawi Rasid dan juga Akhyar Rashid adalah dua pemain muda berkualiti kini yang terhasil daripada dua kejohanan tersebut.

Bayangkan, betapa ramai lagi pemain berkualiti yang mampu dihasilkan jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil beberapa kaedah baru dalam memajukan lagi dua kejohanan itu.

Berikut adalah lima cadangan yang boleh dipertimbangkan FAM untuk meningkatkan lagi tahap Piala Belia dan Presiden ke aras lebih tinggi.

Format pertandingan

Ketika ini saingan Piala Belia dan Presiden masih diadakan secara karnival dengan dibahagikan kepada dua kumpulan.

Mungkin sudah tiba masanya, saingan dua kejohanan ini dianjurkan secara dua divisyen seperti saingan Liga Super dan Premier.

Ketika ini juga sudah ada 20 pasukan dalam dua kejohanan itu dan daripada membahagikan mereka secara dua kumpulan mungkin lebih baik mengasingkan mereka kepada dua divisyen.

Adakan juga penyingkiran dan naik ke divisyen lebih tinggi setiap musim bagi menghangatkan lagi saingan.

Dengan persaingan lebih kompetitif, ia pasti berupaya menghasilkan lebih ramai pemain berkualiti.

FAM juga boleh pertimbangkan satu atau dua lagi saingan seperti Piala FA dan Piala Malaysia buat Piala Belia dan Presiden.

Dengan ini, pemain-pemain muda tempatan sudah pasti akan turut beraksi dalam lebih banyak pertandingan.

Dengan adanya lebih banyak pertandingan sudah pasti saingan Piala Belia dan Presiden memberi persediaan lebih baik buat pemain apabila diserap ke skuad utama.

Pendekatan seperti ini sudah pun dipraktikkan di Eropah serta negara maju Asia seperti Korea Selatan dan Jepun.

Luaskan penggunaan media social dan penyiaran

Ketika ini, pentadbir Liga M Malaysia Football League (MFL) sudah melakukan usaha yang baik dalam meluaskan aspek penyiaran bagi saingan Liga Super, Premier, Piala FA dan Malaysia.

Justeru, kaedah sama boleh digunakan untuk saingan Piala Belia dan Presiden yang pasti mampu memberi impak positif.

Mungkin penyiaran buat dua saingan remaja ini tidak perlu begitu luas seperti Liga M.

Namun, ia perlu ada liputan lebih baik berbanding apa yang ada pada hari ini.

Liputan media serta penyiaran yang lebih besar, pasti turut memberi suntikan motivasi tambahan buat pemain-pemain muda.

Para jurulatih muda di saingan Piala Belia dan Presiden juga boleh menonton semula aksi pasukan mereka dan memperbaiki semula kesilapan taktikal yang mungkin dilakukan atau kesilapan individu pemain mereka.

Jika mengambil khidmat stesen tv mungkin memakan kos tinggi, penggunaan media sosial untuk menyiarkan perlawanan Piala Belia dan Presiden boleh dipertimbangkan penggunaannya.

Pentas awal buat graduan NFDP

FAM boleh menggunakan saingan Piala Belia dan Presiden sebagai pentas awal buat graduan NFDP,

Ia adalah satu langkah positif jika FAM yang diterajui Datuk Hamidin Mihd Amin kini mahu mengambil alih pentadbiran Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

FAM boleh menggunakan saingan Piala Belia dan Presiden sebagai pentas awal buat graduan NFDP yang gagal mendapat tempat dalam skuad utama negeri atau kelab dalam saingan Liga Super dan Premier.

Kadang-kala, tidak semua pemain mampu mencapai kemuncak prestasi pada usia muda walaupun berada dalam program NFDP.

Bukan kerana mereka tidak bagus, tetapi pemain-pemain ini mungkin “Late Bloomer” yang akan hanya matang selepas usia 21 tahun.

Jadi, saingan Piala Belia dan Presiden mampu memastikan bakat yang terhasil di NFDP tidak dibazirkan.

Jalin kerjasama dengan Kementerian Pelajaran

Di negara maju seperti Amerika Syarikat, golongan atlet mempunyai kaedah plajaran khas yang membolehkan merek tetap mempunyai segulung ijazah tanpa mengorbankan potensi mereka dalam sukan.

Di sini, FAM boleh bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran bagi mencari kaedah sesuai buat pemain yang melanjutkan pelajaran ke universiti tetap beraksi di saingan Piala Belia dan Presiden.

Hakikatnya, setiap tahun ramai juga golongan pemain muda berbakat memilih untuk mengutamakan akademik kerana sukar meneruskan pelajaran jika kekal aktif di Piala Belia dan Presiden.

Golongan ibu bapa juga pasti tidak lagi memberi galakkan jika anak mereka terpaksa membuat keputusan memilih akadamik atau bola sepak.

Jika terdapat kaedah pembelajaran khas atau lebih fleksible buat pemain bola sepak, sudah pasti lebih ramai ibu bapa akan terus beri sokongan buat anak mereka.

Dan sudah pasti, kita akan mempunyai lebih ramai pemain berpendidikan tinggi yang sekaligus mengubah persepsi terhadap pemain bola sepak oleh masyarakat kita.

Swastakan Piala Belia dan Presiden

Satu lagi kaedah baru yang boleh dipertimbangkan FAM ialah pemswastaan dua saingan belia itu.

Ikut modul sama yang digunakan Liga M serta tubuhkan sebuah syarikat seperti MFL mentadbir dua liga remaja tersebut.

Kaedah ini mampu meringankan bebean FAM yang hanya perlu fokus terhadap pelaksaan NFDP serta skuad kebangsaan di semua peringkat umur.

Namun, penswastaan Piala Belia dan Presiden perlu perancangan teliti yang mampu memberikan impak pisitif diharapkan dan tidak hanya seperti melepaskan batuk di tangga.