Stories

5 Pemain Muda Terbaik Piala Dunia: Dimanakah mereka sekarang?

Setiap Piala Dunia, seorang pemain muda akan dinobatkan sebagai yang terbaik and nama-nama dibawah telah melihat karier mereka berkembang dengan baik. Ada antaranya yang pernah dilabel sebagai pemain paling mahal di dunia ...

We are part of The Trust Project What is it?

Michael Owen (Perancis 1998)

Baru berusia 18 tahun ketika itu, penyerang England, Michael Owen yang hanya memiliki ketinggian 1.73 meter diangkat sebagai Pemain Muda Terbaik Kejohanan di Piala Dunia Perancis 1998.

Walapun England tewas di dalam perlawanan pusingan kedua melalui penentuan sepakan penalti, gol yang dihasilkan melalui larian pantas menewaskan pertahanan Argentina dalam perlawanan itu pastinya akan kekal dalam ingatan peminat-peminat The Three Lions buat selama- lamanya.

Memiliki larian yang pantas dan skil gelecekan yang seakan-akan bintang Brazil Ronaldo Lima, Michael Owen berjaya memukau penyokong England ketika itu apabila berjaya menjaringkan gol dalam kekalahan kepada Romania walaupun hanya masuk sebagai pemain gantian pada penghujung babak kedua perlawanan

Tamat kejohanan Piala Dunia, Owen meneruskan karier bersama kelab yang disertainya sejak berusia 15 tahun iaitu Liverpool dan berjaya memenangi kasut emas di Liga Perdana Inggeris buat dua musim berturut-turut pada musim 97/98 dan 98/99 dan terpilih sebagai pemain terbaik Eropah pada tahun 2001. Beliau juga turut memenangi beberapa kejuaraan bersama Liverpool antaranya Piala FA Inggeris, Piala Liga Inggeris dan juga Piala Uefa (sekarang dikenali sebagai Europa League).

Setelah menikmati pelbagai kejayaan dan menempuhi tempoh yang penuh gemilang bersama Liverpool selama lapan musim, Owen kemudiannya  berpindah ke kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid pada tahun 2004 dan menjadi sebahagian daripada ahli Galacticos yang ketika itu turut disertai bintang-bintang ternama dunia seperti Luis Figo, Ronaldo, David Beckham dan juga Roberto Carlos.

Keputusannya berhijrah ke Madrid juga menyaksikan beliau terlepas untuk merangkul kejuaraan Liga-Liga Juara Eropah bersama The Kop pada 2004 yang ketika itu dibimbing Rafa Benitez.

Bermain selama semusim dan menjaringkan 16 gol dalam 45 penampilannya bersama Galacticos, Owen kemudiannya kembali ke England dan menyertai Newcastle United selama empat musim sebelum mengejutkan peminat bola sepak di England apabila bersetuju untuk menyertai kelab seteru Liverpool iaitu Manchester United.

Bersama United, Owen hanya memulakan enam perlawanan sahaja namun berjaya mencapai kejayaan yang tidak pernah dimenangi bersama Liverpool sebelum ini iaitu Liga Perdana Inggeris.

Menuju penghujung karier sebagai seorang pemain bola sepak, Owen memilih Stoke City sebagai destinasi terakhirnya sebelum bersara pada penghujung musim 2012/2013.

Landon Donovan (Korea/Japan 2002)

Lahir di sebuah negara yang mana sukan utamanya bukanlah bolasepak, mendapat penganugerahan sebagai Pemain Muda Terbaik di kejohanan bola sepak terbesar dunia adalah sesuatu yang menakjubkan bagi Landon Donovan.

Donovan yang hampir mencipta sejarah sebagai pemain ketiga termuda yang pernah dipanggil menjalani latihan bersama Pasukan Bola Sepak Lelaki Amerika Syarikat (USMNT), memulakan karier profesional beliau bersama Bayer Leverkusen pada  1999 sebelum dipinjamkan kembali ke kelab asalnya, San Jose Earthquake untuk membantu mereka memenangi kejuaraan Piala Major League Soccer yang pertama dalam sejarah kelab.

Entah dimana silapnya buat Donovan, walaupun beraksi dengan cemerlang membantu Amerika Syarikat di Sukan Olimpik 1999 dan membantu pasukan kebangsaannya mara ke peringkat suku akhir di Piala Dunia Korea Jepun pada 2002, beliau gagal untuk menarik minat kelab-kelab ternama Eropah untuk bermain bersama mereka.

Donovan hanya menghabiskan sebahagian besar kariernya di Major League Soccer bersama Los Angeles Galaxy dan hanya dipinjamkan dua kali kepada Bayern Munich (2009) dan Everton (2010,2012).

Kini, berusia 36 tahun, Landon Donovan baru sahaja menamatkan kontraknya pada bulan lepas bersama pasukan di Liga MX, Club Leon.

Lukas Podolski (Jerman 2006)

2006 adalah tahun yang penuh dengan suka dan duka buat pemain kebangsaan Jerman ini. Bermula dengan penyingkiran kelab yang diwakilinya di Bundesliga, Fc Koln sehinggalah berjaya mengatasi Lionel Messi untuk menjadi Pemain Muda Terbaik Piala Dunia 2006 yang berlangsung di negara kelahirannya sendiri.

Lukas Podolski membuktikan kekecewaan di liga domestik bukanlah penghalang buat dirinya  apabila dia berjaya membuat tujuh penampilan dan menjaringkan tiga gol di samping memainkan peranan penting dalam membantu kemaraan Jerman sehingga ke peringkat separuh akhir dan mendapat tempat ketiga setelah menewaskan Portugal dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Berusia 21 tahun pada ketika itu, segala-galanya terbuka luas buat Lukas Podolski selepas berakhirnya Piala Dunia 2006 apabila beliau bersetuju untuk menyertai gergasi Bundesliga, Bayern Munich dan membantu mereka mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah pada musim pertamanya.

Pada 2009, setelah beberapa musim bersama Bayern beliau akhirnya kembali bersama Fc Koln sebelum berhijrah ke Arsenal pada 2012 dan kemudiannya dipinjamkan ke kelab Itali, Inter Milan.

Setelah menikmati kemuncak kariernya bersama kelab-kelab ternama Eropah, Podolski akur dengan faktor usia yang tidak lagi membolehkan beliau untuk bersaing di liga-liga utama Eropah dan membuat keputusan untuk menyertai kelab Turki, Galatasaray pada 2015 selama dua musim.

Kini berusia 33 tahun, bekas Pemain Muda Terbaik Dunia pada 2006, Lukas Podolski sedang menikmati kehidupannya sebagai seorang pemain bola sepak bersama Vissel Kobe di Jepun dan memiliki sebuah kedai kebab di bandar kelahirannya, Cologne.