Top 10/50/100

5 pemain paling lama bersama satu pasukan

Masih ada pemain yang kekal bersama pasukan masing-masing sehingga bertahun-tahun lamanya.

We are part of The Trust Project What is it?

Dalam era bolasepak moden pada hari ini sukar untuk kita menyaksikan seseorang pemain yang setia dengan satu-satu kelab sama ada untuk keseluruhan karier ataupun untuk satu tempoh masa yang panjang. 

Antara sebab utama berlaku situasi ini adalah kerana pemain dipancing kelab yang lebih baik, dengan tawaran gaji lebih tinggi dan paling penting ianya membuka peluang untuk mengembangkan lagi karier. 

Dalam masa sama, boleh dikatakan tidak ada pasukan dalam Liga Malaysia yang berani menawarkan kontrak jangka panjang kepada pemain – lazimnya setahun atau maksima dua tahun. 

Terdapat juga pasukan yang menamatkan kontrak secara pra-matang apabila pemain itu mengalami kecederaan walaupun ia hanyalah kecederaan jangka pendek, selain menyisihkan pemain lama yang sudah melepasi kemuncak karier. 

Begitupun, masih ada pemain yang kekal bersama pasukan masing-masing sehingga bertahun-tahun lamanya, malahan mencecah berbelas tahun. 

Kami menyenaraikan 5 pemain yang masih setia menabur bakti bersama pasukan paling lama mereka wakili, sama ada ianya secara berturut-turut mahupun selepas beberapa musim berkelana. 

Amri Yahyah (Selangor)

Tempoh keseluruhan: 15 tahun (2001-2013, 2017-2018)

Rumahku syurgaku. Nampaknya Selangor juga lah tempat yang paling sesuai buat pemain kelahiran Tanjung Karang ini apabila dia kembali menyarung jersi Red Giants buat kali kedua pada pertengahan 2017. 

Amri membuat keputusan meninggalkan Red Giants pada penghujung 2013 tetapi empat musim berkelana mewakili Johor Darul Takzim dan Melaka United, ternyata bermain dengan pasukan luar, "feel good factor" tidak sama atau mungkin langsung tiada. 

Amri sudah membina nama sebagai ikon, wajah bolasepak Selangor. Dalam setiap kejuaraan dimenangi Selangor dari 2001-2013 ada terpahat namanya. 

Shahrizan Ismail (Kelantan)

Tempoh keseluruhan: 14 tahun (1999-2001, 2008-2018)

Shahrizan menyertai skuad utama Kelantan pada 1999 ketika usianya baru 19 tahun dan antara tonggak yang membantu pasukan menjulang Liga Perdana Dua pada 2000. 

Berakhir musim 2001 dia berhijrah menyarung jersi Selangor dan kemudiannya Terengganu sebelum kembali memperkuatkan semula sang kijang pada 2008. 

Pemain ini memainkan peranan penting dalam skuad revolusi Kelantan pada 2009 yang muncul naib juara Piala FA dan Piala Malaysia tetapi kemudiannya menjadi penjaga gol ketiga selepas kemunculan Khairul Fahmi Che Mat. 

Hanya pada 2018 mendapat semula peluang bermain lebih kerap dalam kesebelasan utama ekoran Kelantan ketiadaan penjaga gol berpengalaman.