Bintang yang hilang: Rosle Md Derus

Mungkin tidak ramai peminat bola sepak tempatan generasi kini ingat yang negara kita pernah menganjurkan Piala Dunia Remaja FIFA pada 1997 dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika itu membentuk sebuah skuad remaja yang dikenali sebagai Skuad 97.

Nama Rosle Md Derus mungkin tidak begitu dikenali generasi peminat kini, walaupun bekas pemain ini pernah mempamerkan potensi tinggi di awal kerjayanya bersama Skuad Projek 97 (Skuad 97).

FourFourTwo kali ini memaparkan Rosle yang kini ketua jurulatih Felcra FC di saingan Piala FAM.

Perjalanana Awal Bersama Skuad 97

Rosle adalah pemain produk program pembangunan belia berkesan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) pada era 90.

Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria (V.I) adalah di mana Rosle mengasah bakatnya sehingga berjaya menjadi pemain profesional.

Selepas cemerlang bersama V.I di saingan peringkat Zon Bangsar dan Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan serta mewakili Kuala Lumpur di pelbagai saingan peringkat bawah umur, Rosle diserap masuk ke Skuad 97 pada 1994.

FAM ketika itu memilih pemain muda terbaik yang lahir pada atau selepas 1 Januari 1977.

Antara pemain yang bersaing merebut tempat dalam pasukan ketika itu ialah Reezal Zambry Yahya, Shukor Adan dan Tengku Hazman Raja Hassan.

"Saya adalah antara pemain terawal dipilih pada penghujung 1994 dan saingan berada dalam pasukan cukup sengit," kata Rosle.

Kami hanya menerima gaji sebanyak RM250 sebulan dan ia hanya meningkat ke RM1,500 pada 1997, tahun ketika kejohanan berlangsung

Selepas kelompok terbaik pemain dipilih, pemain yang masih bersekolah seperti Rosle perlu membahagikan masa antara pelajaran dan latihan pada 1995.

"Saya berada di tingkatan lima waktu itu, selepas sekolah, saya akan ke Wisma FAM untuk menjalani latihan.

"Ketika itu, kami tidak menerima gaji yang dianggap tinggi seperti pemain generasi selepas kami dalam skuad Harimau Muda.

"Kami hanya menerima gaji sebanyak RM250 sebulan dan ia hanya meningkat ke RM1,500 pada 1997, tahun ketika kejohanan berlangsung.

"Namun, saya dan rakan-rakan banyak mendapat pendedahan menerusi latihan dan aksi persahabatan di luar negara ketika itu," kata Rosle.

Shukor Adan. Photo: Asiana.my

Bersama Skuad 97, Rosle berpeluang ke beberapa negara seperti England, Perancis dan Jerman, malah, turut berpeluang beraksi dengan skuad simpanan Arsenal pada 1996 yang turut menurunkan beberapa pemain utama mereka.

Skuad 97 ketika itu dikendalikan jurulatih dari Tunisia, Hateem Souossi dengan dibantu B Sathianathan, Mandiaty Fall, jurulatih penjaga gol dan Aleksander Bozenko sebagai jurulatih kecergasan.

Aabila terlalu mengawal dan mahu pemain hanya bermain cara dia mahukan ... ia mungkin kadang-kala turut membataskan daya kreativiti pemain muda

Rosle menyifatkan Hateem seorang jurulatih yang baik namun, pendekatannya yang hanya mahu pemain bermain caranya kerap membataskan potensi seseorang pemain.

"Hateem seorang jurulatih yang amat pentingkan disiplin dan memang ia adalah sesuatu yang bagus dalam membimbing pemain muda.

"Dia juga sebenarnya mempunyai perancangan taktikal yang baik untuk menangani keampuhan lawan.

"Namun, apabila terlalu mengawal dan mahu pemain hanya bermain cara dia mahukan ... ia mungkin kadang-kala turut membataskan daya kreativiti pemain muda.

"Mungkin kerana itu, pemain yang digugurkan dari pasukan seperti Shukor Adan, dan juga Reezal Zambry Yahya mempunyai kerjaya bola sepak lebih panjang berbanding kami yang kekal dalam pasukan, tetapi ini adalah sekadar pandangan peribadi saya sebagai bekas pemain Skuad 97," kata Rosle.

B. Sathianathan

Di saingan Piala Dunia Remaja 1997, Malaysia berada dalam kumpulan sukar bersama Maghribi, Uruguay dan Belgium.

Rosle beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan yang menyaksikan skuad negara tewas kesemuanya.

Ketika aksi pembukaan dengan Maghribi, skuad negara bermula baik apabila mendahului menerusi jaringan sendiri Youssef Safri pada minit ke-10.

Ia adalah satu pengalaman berharga buat saya, beradu kekuatan dengan pemain seperti Marcelo Zalayeta dan Adil Ramzi yang kemudiannya menjadi tonggak senior negara mereka di Piala Dunia

Namun, Maghribi bangkit untuk menang 3-1 dan skuad negara mengulangi skrip sama berdepan Uruguay dengan Nik Ahmad Fadly Nik Leh meraih gol pendahuluan pada babak pertama sebelum tumpas 3-1.

Malaysia menamatkan saingan di kejohanan itu dengan kekalahan 3-0 kepada Belgium dalam aksi terakhir Kumpulan A, sekaligus menamatkan cabaran di tangga tercorot kumpulan.

"Kecuali aksi pembukaan berdepan Maghribi, saya berada dalam kesebelasan utama skuad negara berdepan Uruguay dan Belgium.

"Ia adalah satu pengalaman berharga buat saya, beradu kekuatan dengan pemain seperti Marcelo Zalayeta dan Adil Ramzi yang kemudiannya menjadi tonggak senior negara mereka di Piala Dunia.

"Apabila mengimbas kembali kegagalan kami untuk melangkah jauh, bagi saya, pemain sebenarnya kekurangan aksi kompetitif antarabangsa walaupun kami banyak beraksi perlawanan persahabatan di dalam dan luar negara.

"Jika nak dibandingkan sekarang, terdapat saingan Piala Belia bagi aksi kompetitif buat pemain bawah 19 tahun dan terdapat juga Sekolah Sukan Bukit Jalil.

"Tetapi pada zaman itu, hanya ada kejohanan peringkat bawah umur dan ada beberapa pemain dipilih ketika pemilihan terbuka yang diadakan FAM.

"Kecederaan beberapa pemain tonggak seperti Lim Chan Yew dan Khalid Jamlus sebelum kejohan kemungkinan turut memberi kesan," kata Rosle.