Stories

Didier Deschamps julang Perancis untuk kejuaraan Piala Dunia ke-2

Setelah berjaya membawa Perancis menjulang kejuaraan Piala Dunia di Rusia tahun ini, Didier Deschamps kini tergolong dalam golongan elit yang pernah memenangi trofi paling berprestij sebagai pemain dan juga sebagai pengurus pasukan.

We are part of The Trust Project What is it?

Sepanjang sejarah penganjuran Piala Dunia, memenangi kejohanan tersebut sebagai pemain dan juga pengurus adalah sesuatu yang jarang berlaku dimana selain Deschamps, hanya dua individu sahaja yang pernah mencapai kejayaan tersebut iaitu, lagenda Jerman, Lothar Matthaus dan juga jurulatih dan bekas pemain pasukan kebangsaan Brazil, Mario Zagallo.

Sebagai pemain, Didier Deschamps menjulang kejuaraan Piala Dunia 1998 bersama Perancis dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stade de France di Saint Denis, Perancis.

Pada perlawanan tersebut, Deschamp yang bermain sebagai pemain tengah juga merupakan kapten pasukan kebangsaan Perancis pada malam tersebut.

Kini, setelah 20 tahun berlalu, Deschamp sekali lagi menjadi juara dunia tetapi kali ini dengan peranan yang berbeza iaitu sebagai jurulatih pada pasukan yang dibarisi bintang muda dalam edisi yang berlangsung di Rusia.

Kerjaya sebagai pengurus pasukan Perancis

Bekas pengendali Marseille dan Juventus itu mula mengambil alih pasukan Perancis pada 2012 daripada Laurent Blanc apabila pasukan Perancis ketika itu gagal mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Euro 2012.

Perjalanan membentuk Perancis menjadi juara dunia pada tahun ini bukanlah sesuatu yang mudah buat jurulatih yang memiliki 103 penampilan sebagai pemain skuad kebangsaan Perancis itu. Selama enam tahun membimbing Les Blues, kejuaraan terbesar yang pernah dikecapi oleh Deschamp sebelum menjadi juara dunia adalah apabila mereka berjaya mara ke perlawanan akhir Euro 2016 sebelum ditewaskan oleh Portugal di negara mereka sendiri.

Pengendali yang terkenal dengan sikap tegasnya sepanjang mengemudi pasukan Perancis juga pernah membuat beberapa keputusan di luar jangkaan seperti tidak menyenaraikan penyerang Real Madrid, Karim Benzema pada kejohanan Euro 2016 gara-gara pendedahan skandal video seks pemain tersebut. Beliau juga meninggalkan bintang sensasi Manchester United ketika itu Paul Pogba daripada skuad Piala Dunia 2014 di Brazil.

Walaupun memiliki sifat yang tegas, Deschamp masih lagi menekankan sikap kekeluargaan dan berpasukan yang tinggi dalam kem latihan Perancis. Beliau juga tidak membenarkan para pemain menggunakan telefon pintar mereka ketika sedang makan bersama ahli pasukan yang lain dan sentiasa melakukan aktiviti yang boleh mengeratkan lagi hubungan sesama pemain seperti bermain PlayStation bersama.

Dengan kontrak bersama pasukan kebangsaan Perancis masih lagi berbaki selama dua tahun, sudah pastinya lebih banyak kejayaan yang akan dicapai oleh Deschamps bersama Les Blues.

Karier sebagai pemain

Sebelum menjadi jurulatih dan pengurus pasukan, Didier Deschamp juga pernah menjadi pemain bola sepak profesional pada tahun 1989 sehingga 2001.  pernah mewakili beberapa kelab di Eropah antaranya Chelsea, Marseille dan juga Juventus di samping membuat sebanyak 103 penampilan bersama pasukan kebangsaan Perancis dan menjaringkan empat gol sepanjang tempoh tersebut.

Deschamp juga telah memenangi beberapa kejuaraan utama seperti muncul juara Piala Dunia pada 1998, menjuarai Euro 2000 dan pernah memenangi Liga Juara-Juara Eropah pada tahun 1993 dan 1996 bersama Olympique Marseille dan Juventus.

Selepas memenangi Piala Dunia pada 1998, Deschamp berhijrah pada dari kelab Itali, Juventus dan memilih untuk bermain pasukan dari kota London, Chelsea dan berjaya merangkul kejuaraan Piala FA pada tahun 2000. Kelab terakhir yang pernah disertai oleh Didier Deschamps adalah FC Valencia pada tahun 2001 sebelum mengumumkan persaraan dan memulakan karier kejurulatihan bersama pasukan dari Liga Perancis, AS Monaco.