Eksklusif bersama Mohamed Syamer Kutty: Harimau Muda yang terus menarik perhatian

Meskipun skuad kebangsaan tumpas 2-0 kepada Hong Kong dalam aksi getir kelayakan Piala Asia Kumpulan B  pada 10 Oktober lalu, kelibat Mohamed Syamer Kutty Abba tetap mencuri tumpuan.

Beraksi di perlawanan antarabangsa senior pertamanya dalam situasi cukup sukar pasti bukan mudah buat mana-mana pemain muda, namun Syamer tampak tenang.

Pengendali kebangsaan Nelo Vingada turut berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan pemain muda itu masa berhadapan dengan Hong Kong.

Syamer adalah anak ketiga daripada lima adik beradik lelaki dan mula berjinak dengan bola sepak sejak dari kecil

"Selama hampir 70 minit dia beraksi, dia mengerah segala kudrat dan cuba memberikan aksi terbaik dalam situasi yang cukup sukar.

"Ini adalah penampilan pertamanya dengan skuad senior namun, dia kelihatan tenang ketika beraksi," kata Vingada mengenai Syamer.

FourFourTwo merapati pemain Pulau Pinang ini agar dapat mengenali dengan lebih dalam lagi pemain yang dilihat sebagai antara permata baru bola sepak Malaysia.

Permulaan Awal

Syamer adalah anak ketiga daripada lima adik beradik lelaki dan mula berjinak dengan bola sepak sejak dari kecil.

"Sejak dari kecil, saya mula bermain dengan dua orang abang saya yang banyak memberi pendedahan awal kepda saya bermain bola.

"Ketika berusia 9 tahun, saya mula mewakili Sekolah Kebangsaan Francis Light dan kemudian terus bergiat secara serius dalam bola sepak," kata Syamer.

Selepas menamatkan alam sekolah rendah, Syamer menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Penang Free dan terus beraksi untuk skuad remaja bawah 14 tahun hingga Piala Presiden Pulau Pinang.

"Saya berusia 17 tahun ketika beraksi untuk skuad Piala Presiden dan memang ia usia yang agak muda.

"Tetapi saya sentiasa ada sifat mahu belajar dan meningkatkan prestasi saya serta tidak mudah puas hati dengan apa yang saya kecapi, " kata Syamer yang pada mulanya beraksi sebagai penyerang atau pemain sayap.

Bukan cemburukan Jafri, tetapi kejayaannya menjadi pembakar semangat buat saya untuk terus bekerja keras dan berjaya sepertinya

Ketika pembabitan awalnya dalam bola sepak, Syamer akui mahu menyamai pencapaian Muhamad Jafri Firdaus Chew.

Jafri adalah rakan sepasukan Syamer dalam skuad B22 tahun negara di Sukan Sea lalu yang lebih menyinar pada usia yang muda.

"Jafri sudah pun bersama skuad Harimau Muda C ketika berusia 16 tahun walaupun dia seusia saya.

"Bukan cemburukan Jafri, tetapi kejayaannya menjadi pembakar semangat buat saya untuk terus bekerja keras dan berjaya sepertinya," kata Syamer.

Hasil kerja keras, Syamer kemudian diserap masuk ke skuad Harimau Muda C yang dikendalikan Hassan Sazali Waras pada tahun 2014-2015.

Syamer akui, keluarganya pada mulanya mahu dia lebih menumpukan perhatian kepada pelajaran.

Namun, selepas berjaya memasuki Harimau Muda C keluarganya mula memberi sokongan penuh kepadanya untuk berjaya dalam bola sepak.

Harimau Muda C (2014-15)

Tidak banyak kejayaan yang diraih Syamer ketika bersama Harimau Muda C dan skuad bawah 19 tahun negara.

Namun, Syamer akui banyak menerima pendedahan bersama pasukan ini yang menambah kematangannya di atas padang.

Harimau Muda C kendalian Hassan Sazali Waras turut beraksi dalam saingan Piala FAM pada musim 2014 dan 2015.

Bagi saya, skuad B19 Tahun ketika itu mempunyai ramai pemain berkualiti walaupun kami sekadar tempat keempat saingan AFF B19 Tahun

Dalam saingan AFF B19 tahun 2015 di Laos, Syamer masih beraksi sebagai sayap kiri dan kadang kala berpasangan dengan Jafri di bahagian serangan.

"Bagi saya, skuad B19 Tahun ketika itu mempunyai ramai pemain berkualiti walaupun kami sekadar tempat keempat saingan AFF B19 Tahun.

"Selain saya dan Jafri, terdapat Syami Safari (kini bersama Selangor) dan juga Dominic Tan (Johor Darul Ta'zim)," kata Syamer.

Selepas saingan AFF B19 Tahun, Syamer bersama skuad muda negara beraksi di saingan kelayakan AFC B19 Tahun di China.

Malaysia berada dalam kumpulan kelayakan bersama China, Korea Utara dan Macau.

Skuad kendalian Hassan Sazali Waras tumpas 6-0 kepada China dalam aksi pertama.

Dominic Tan

Syamer kemudian berubah posisi buat pertama kali dalam aksi kedua kelayakan berdepan Korea Utara apabila Hassan meletakkannya di posisi tengah.

"Coach Hassan adalah jurulatih pertama yang rasa saya mampu beraksi di bahagian tengah.

Sejurus kegagalan skuad kendalian Hassan, Persatuan Bola Sepak Malaysia mengumumkan pembaharuan program Harimau Muda

"Selepas kekalahan kepada China, saya dan rakan-rakan berjuang habis-habisan berdepan Korea Utara.

"Saya rasa kami tidak bernasib baik apabila tumpas tipis 1-0 walaupun memberikan aksi yang baik," kata Syamer.

Skuad B-19 Tahun negara menamatkan saingan kelayakan dengan menewaskan Macau 4-1 dan menamatkan cabaran di tangga ketika sekaligus, gagal ke pusingan akhir.

Sejurus kegagalan skuad kendalian Hassan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan pembaharuan program Harimau Muda.

Syamer dan rakan sebayanya dalam skuad Harimau Muda C kemudian kembali ke pasukan negeri masing-masing.

Kembali ke Pulau Pinang, Skuad Bawah-22 Tahun Kebangsaan

Musim 2016 menyaksikan Syamer kembali ke Pulau Pinang dan bekas pelajar Sekolah Menengah Penang Free ini diserapkan ke skuad Piala Presiden.

Tahun sama juga, Syamer  sekali sekala dipanggil bekas pengendali Skuad Bawah 22 Tahun negara, Frank Berhard.

"Tahun lalu, saya lebih banyak bersama skuad Piala Presiden Pulau Pinang dan saya sentiasa bekerja keras sehingga akhirnya berjaya dalam skuad utama musim ini.

"Bersama skuad B-22 Tahun negara, Bernhardt lebih gemar menggunakan saya sebagai penyerang dan saya tidak mendapat panggilan secara kerap," kata Syamer.