Stories

Hamidin Amin: Dari kelab penyokong ke kerusi panas Malaysia

Tanggal 14 Julai 2018, sejarah tercipta buat arena bolasepak Malaysia apabila Dato’ Hamidin Mohd Amin secara rasminya dipilih sebagai Presiden baru Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

We are part of The Trust Project What is it?

Hamidin bukan sahaja Setiausaha Agung yang pertama tetapi turut merupakan individu pertama yang mana bukan merupakan tokoh korporat, ahli politik mahupun kerabat diraja untuk bergelar Presiden FAM.

Sejak merdeka, FAM diurus oleh orang politik bermula dengan Tunku Abdul Rahman pada 1958 hingga 1974 diikuti Tun Abdul Razak (1974 - 1976) dan Tan Sri Hamzah Abu Samah (1976 - 1983).

Selepas Hamzah melepaskan jawatannya atas sebab-sebab kesihatan, bermulalah kepimpinan orang istana selama lebih tiga dekad apabila Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah mentadbir FAM hingga 2014 sebelum diterajui anak baginda, Tengku Abdullah (2014-2017).

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kemudian menyambung legasi orang istana sebagai boss FAM pada Mac 2017 namun memilih untuk berundur setelah  genap setahun pada 25 Mac lalu.

Hamidin sendiri pastinya tidak menyangka apabila beliau aktif terlibat dalam pengurusan bersama Kelab Penyokong Bolasepak Selangor kira-kira 30 tahun lalu, ia akan membawanya untuk berada di kedudukan ini.

Kami menyingkap detik-detik penting dalam perjalanan karier Hamidin yang bermula dari bawah sebagai seorang penyokong tegar bolasepak Selangor yang kini merupakan pemilik kerusi nombor satu badan induk bolasepak Malaysia.

Kelab Penyokong Bolasepak Selangor

Sepertimana penyokong bolasepak yang lain, Hamidin juga adalah salah seorang daripada mereka. Tiada nama, tiada pangkat, hanya semata-mata seorang penyokong bolasepak biasa yang merupakan fanatik Selangor.

Pembabitan beliau dalam pengurusan bolasepak bermula dengan Kelab Penyokong Bolasepak Selangor (SSFC) dan sering menjadi orang tengah di dalam menyampaikan suara penyokong kepada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).  

Bina nama dan imej bersama FAS

Nama Hamidin semakin dikenali apabila beliau memulakan khidmat bersama FAS pada 1 Ogos 1995 dengan jawatan sebagai Setiausaha Eksekutif FAS sebelum dilantik sebagai Setiausaha Agung pada 1 Januari 1998 sehingga 2013.

Dalam tempoh 18 tahun bersama FAS itulah Hamidin berjaya untuk menjalin hubungan baik bersama pelbagai pihak dan mengukuhkan ‘CV’ nya. Beliau berjaya untuk membina imej serta reputasi cukup baik yang dikagumi ramai.

Beliau berkhidmat di bawah enam Presiden FAS iaitu Tan Sri Muhammad Muhamad Taib, Dato’ Mohd Aini Taib, Tengku Idris Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Tengku Datuk Seri Ahmad Shah, Dato’ Seri Mohamad Khir Toyo dan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sepanjang bersama FAS, Hamidin turut pernah bertindak antaranya sebagai Setiausaha Penganjur Piala Dunia Remaja 1997 di Kuala Lumpur, Pengerusi Jawatankuasa Logistik Piala Asia 2007, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bolasepak Pantai Kebangsaan selain pernah memegang jawatan sebagai Naib Presiden FAM.