Stories

Kelab yang dilupakan – JKR Kelantan

Kelab Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan bersinar terang sebelum dibubarkan kerana krisis kewangan.

We are part of The Trust Project What is it?

Sejarah awal

Kelab Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan layak beraksi di Liga Perdana Dua (sekarang dikenali Liga Premier) pada tahun 2000 setelah menjuarai saingan Liga FAM 1999 dengan menewaskan KL Malay Mail 5-2 dalam aksi final.  
 
Tidak seperti sebuah lagi pasukan senegeri TNB Kelantan yang bertahan selama tujuh musim, jangka hayat JKR Kelantan dalam Liga Malaysia adalah sangat pendek iaitu hanya dua musim sahaja dari 2000–2001. 

Tetapi dalam tempoh itu JKR Kelantan telah berjaya mencipta sensasi dan buat seketika menjadi satu fenomena dalam arena bolasepak tempatan dengan mempunyai kumpulan penyokong fanatik tersendiri. 

Salah satu sebab utama adalah kerana mereka mempunyai ramai pemain-pemain terbaik tempatan dan boleh dikatakan kelab terawal untuk memulakan trend merekrut pemain-pemain berprofil tinggi sama ada dari kalangan bekas pemain-pemain negeri mahupun kebangsaan ke dalam pasukan.

Antara pemain menyertai JKR yang tampak bernafsu mahu memburu gemilang dan membantu mereka menjuarai Liga FAM adalah beberapa bekas pemain Kelantan seperti Rosli Rejab, Rojani Hussain, Bakri Mohamad, Hafiz Mohd Romi, Aziz Mustapa, Rosli Ismail, Adnan Musa, Fauzi Musa dan Azahar Ismail selain bekas penjaga gol Terengganu Wan Kamarulzaman Wan Mohamad.

Menarik ramai nama berprofil tinggi sertai pasukan 

Ia tidak berhenti di situ, kejayaan melangkah beraksi di Liga Perdana Dua menyaksikan JKR Kelantan semakin mengukuhkan reputasi dan berjaya menarik lebih ramai pemain berkualiti menyertai mereka bagi musim 2000. 

Halim menyertai kelab bagi musim 2000.

Antaranya penjaga gol yang cukup terkenal Halim Napi, bekas kapten Kelantan Zahasmi Ismail dan tidak ketinggalan bintang kesayangan Kota Bharu, Hashim Mustapha yang juga merupakan penjaring terbanyak Liga Malaysia 1993 dan 1994. 

Hashim sebenarnya telahpun lebih awal dikaitkan untuk menyertai JKR pada awal 1999 bukan sahaja sebagai pemain tetapi juga pembantu jurulatih setelah dia membuat keputusan tidak menyambung kontrak dengan Kelantan gara-gara kecewa dan merajuk dengan layanan dari pasukan itu. 

Tetapi ketika itu Hashim memilih menerima lamaran Johor dan pulang menyarung jersi JKR pada 2000. Dengan kelibat begitu ramai bekas pemain negeri, ia dalam masa sama menandakan bermulanya perseteruan setempat antara Kelantan dan JKR Kelantan. 

Pada musim kedua yang juga musim terakhir mereka pada 2001, giliran penjaring terbanyak skuad juara Liga Perdana Dua Kelantan, Zoolihsan Yunus dan Rosairil Asrul Mohd Noor pula menyertai JKR bersama-sama Adnan Mohd Zain dan Azhar Abdul Aziz.  

Tidak lupa, pasukan ini jugalah yang mengetengahkan bakat penyerang kecil molek yang digelar ‘ayam katik’, Che Hishamuddin Hassan yang kemudiannya turut pernah mewakili Kedah, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.