Top 10/50/100

Lima aksi nostalgia Selangor dan Pahang

Selangor dan Pahang akan berentap dalam aksi final Piala FA pada 7 Julai 2018. Kami mengimbau semula pertembungan Selangor dan Pahang dan menyenaraikan lima aksi penuh nostalgia membabitkan kedua-dua pasukan dalam tempoh 20 tahun yang lalu.

We are part of The Trust Project What is it?

Pasukan Red Giants kendalian Nazliazmi Nasir memburu kejuaraan keenam setelah melakukannya pada 1991, 1997, 2001, 2005 dan kali terakhir pada 2009 dengan menewaskan Kelantan menerusi penentuan penalti.

Manakala Pahang yang dibimbing Dollah Salleh pula pernah merangkul kejuaraan sebanyak dua kali pada 2006 dan 2014.  

Selangor 1 - 0 Pahang (Final Piala Malaysia 1997)

Gol emas jaringan penyerang import sensasi Christopher Kiwonya membantu Red Giants yang ketika itu diketuai Mehmet Durakovic menjulang trofi Piala Malaysia buat kali ketiga berturut-turut dengan mengecewakan Pahang 1-0.

Kiwomya merembat masuk dari dalam kotak penalti menewaskan  Mudzar Mohamad di gawang Pahang setelah menerima hantaran daripada Aizal Lamin hanya seminit selepas masa tambahan bermula, sekaligus memberikan kejuaraan ke-30 kepada Selangor.

Selangor 2 - 0 Pahang (Separuh Akhir Piala Malaysia 2015)

Selangor bimbingan Mehmet Durakovic menyingkirkan Pahang yang merupakan juara bertahan di peringkat separuh akhir dalam laluan merangkul kejuaraan Piala Malaysia buat kali ke-33.

Setelah terikat tanpa jaringan dalam aksi pertama di Kuantan, penyerang import dari Brazil Guilherme De Paula dan pemain tengah Nazmi Faiz Mansor masing-masing menyumbang satu gol untuk membantu Selangor mencatat kemenangan 2-0 dalam aksi timbal balik di Stadium Shah Alam dan melangkah ke final menentang Kedah.

Selangor 4 - 1 Pahang (Pusingan Pertama Piala FA 2005)

Photo: FAS

Dua jaringan penyerang Indonesia Bambang Pamungkas serta satu masing-masing oleh Khalid Jamlus dan Brian Fuentes membolehkan Selangor melakar kemenangan sensasi 4-1 ke atas Pahang dalam perlawanan pertama pusingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam.

Ia dilihat sebagai kejutan besar apatah lagi Pahang ketika itu dianggap pilihan berikutan status mereka selaku juara Liga Super musim terdahulu selain digelar ‘Real Madrid Malaysia’ dengan adanya bintang seperti kapten skuad kebangsaan Rosdi Talib, Hairuddin Omar, Indra Putra Mahyudin, Irwan Fadzli Idrus dan Fadzli Shaari.

Pahang bagaimanapun gagal untuk menterbalikkan keputusan pada aksi timbal balik, membolehkan Selangor meneruskan kemaraan dengan agregat 5-2 dan ia kemudiannya menjadi musim penuh gemilang buat mereka apabila bukan sahaja memenangi Piala FA tetapi turut menjulang tiga kejuaraan semusim buat kali pertama.

Pahang 2 – 3 Selangor (Liga Super 2010)

Turun tanpa K.Devan dan tiga pemain tonggak – Safee Sali, Hardi Jaafar dan Razman Roslan yang digantung perlawanan, Red Giants tidak membenarkan Pahang untuk mengugat peluang mereka mempertahankan kejuaraan Liga Super buat musim kedua berturut-turut.

Aksi ke-18 Liga Super di Stadium Darulmakmur itu menyaksikan Selangor mendahului menerusi Amri Yahyah yang menyempurnakan hantara Amirulhadi Zainal sebelum Fauzi Roslan berjaya menyamakan kedudukan  1-1.

Selangor bagaimanapun tampil dengan perwatakan juara dengan menambah dua jaringan di separuh masa kedua menerusi Amri dan P.Gunalan sebelum Famirul Asyraf Sayuti mengurangkan defisit jaringan. Kemenangan membolehkan Selangor terus menjarakkan diri di kedudukan teratas mengatasi Kelantan.

Selangor 2 - 0 Pahang (Suku Akhir Piala Malaysia 2002)

Selangor menyingkirkan Pahang di peringkat suku akhir dalam laluan mereka menjulang Piala Malaysia buat kali ke-31. Mereka berdepan kebangkitan Pahang yang cuba untuk menterbalikkan kekalahan 0-2 yang dialami ketika aksi pertama di Stadium Shah Alam.

Namun Selangor yang mendapat sentuhan Ken Worden buat kali ketiga utuh bertahan dan berjaya mengesahkan kemaraan ke separuh akhir setelah Mass Sarr Junior dan Fareed Shah Hassan menjaringkan gol pada 20 minit terakhir untuk memberikan kemenangan 2-0 (4-0 secara agregat).

Selangor meneruskan kemaraan sehingga ke final dan merangkul kejuaraan Piala Malaysia buat kali ke-31.

Main Photo: Pahang FA