Lima calon Kasut Emas Liga Super Malaysia 2017

Peluang untuk memenangi anugerah Kasut Emas Liga Super Malaysia tahun ini dilihat terbuka luas. Di sini kami ramalkan lima pemain yang berpeluang untuk memenangi anugerah ini...

Penjaring gol terbanyak tahun lepas Jorge Pereyra Diaz telah meninggalkan Johor Darul Ta’zim (JDT), membuka ruang kepada pemenang baru Kasut Emas Liga Super Malaysia pada tahun 2017.

FourFourTwo menyenaraikan lima calon untuk anugerah itu, termasuk dua pemain Malaysia – seorang pemain veteran yang berharap untuk mengembalikan masa-masa gemilangnya bersama pasukan barunya dan juga Pemain Paling Bernilai liga.

Ilija Spasojevic (Melaka)

Dilantik sebagai ketua pasukan pada musim lepas, Spasojevic membawa Melaka kepada kejuaraan Liga Premier Malaysia dan menempah tempat dalam Liga Super 2017.

Pemain berusia 29 tahun itu menjaringkan sebanyak 24 gol dalam liga dan salah seorang yang dijangka akan memenangi anugerah Pemain Import Terbaik 2016.

Namun, statusnya sebagai pemain Liga Premier mungkin menjadi halangan untuknya tahun lepas, tetapi kini dia mempunyai peluang untuk menunjukkan bahawa dia mampu untuk mengulangi kehebatannya di dalam liga utama Malaysia.

Sandro da Silva (Kedah)

Kembali ke Kedah selepas tidak didaftarkan pada pertengahan 2016 kerana kecederaan, masih ada harapan untuk pemain dari Brazil itu pulih sepenuhnya dari kecederaan belakang yang menghalangnya daripada terus menjaringkan gol sejak 2015.

Sandro adalah penjaring terbanyak Piala Malaysia dengan lapan gol apabila Kedah tewas kepada Selangor pada 2015, tetapi masalah kecederaan belakangnya telah memaksa Lang Merah untuk membenarkannya pulang ke Brazil untuk mendapatkan rawatan tahun lepas.

Walaupun dia biasanya diletakkan di belakang penyerang, Sandro tetap mendapat peluang yang cukup untuk menyumbat gol. Pemenang tahun lepas, Diaz juga bukan lah penyerang sepenuhnya.

Da Silva kembali untuk musim ketiga bersama Lang Merah

Ahmad Hazwan Bakri (JDT)

Jika terdapat seorang pemain Malaysia yang dipilih atau dijangka untuk menjadi penjaring terbanyak, Hazwan Bakri kemungkinan menjadi pilihan ramai, tetapi itu hanya akan terjadi jika dia bermain sebagai penyerang dan bukannya pemain sayap seperti di Selangor.

Pemain berusia 25 tahun itu merupakan seorang penyudah yang hebat semasa bersama Harimau Muda tetapi kurang mendapat peluang untuk menyumbat gol dalam liga, walaupun telah berjaya memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai Liga Super tahun lepas.

Perpindahannya ke JDT mungkin sesuatu yang baik untuknya. Pasukan Harimau Selatan itu adalah pasukan terbaik kini dan telah mencipta banyak peluang. FourFourTwo difahamkan bahawa Hazwan memastikan klausa yang menjanjikan beberapa jumlah perlawanan dalam kontraknya, sesuatu yang dilihat sebagai sangat penting memandangkan pasukan-pasukan Liga Super lebih cenderung untuk menurunkan pemain import di bahagian serangan.

Safee Sali (PKNS)

Bakal berusia 33 tahun pada penghujung Januari ini, hari-hari terbaik Safee mungkin sudah berlalu, tetapi perpindahan ke PKNS telah menyemarakkan semula semangat dalam diri pemain kebangsaan itu.

Safee dijangka akan berada dalam kesebelasan utama E.Elavasaran dan setelah kerap kali memanaskan bangku simpanan di JDT, pemain yang pasa satu ketika digeruni di rantau ini mungkin bersemangat untuk membuktikan kemampuannya lagi.

Di tahap yang terbaik, Safee seorang penyudah yang hebat di antara penyerang-penyerang tempatan dan mendapat peluang untuk beraksi dengan kerap mungkin sesuatu yang diperlukannya untuk kembali menjaringkan gol.

Adakah lebih masa bermain dapat membantu Safee mengembalikan sengatnya?

Brian Ferreira (JDT)

Jalinan hubungan baik dengan Independiente memanggil semula JDT ke pasukan dari Argentina itu untuk mendapatkan pemain dan selepas berjaya dengan Diaz dan Juan Martin Lucero, pasukan Harimau Selatan itu pastinya berharap Ferreira akan memberi impak yang sama.

Bekas pemain Argentina bawah 17 tahun yang berusia 22 tahun itu mempunyai tanggungjawab yang besar untuk digalas tetapi pastinya JDT tidak akan membenarkan kedua-dua Diaz dan Lucero pergi jika Mario Gomez tidak mempunyai keyakinan bahawa Ferreira mampu untuk menjaringkan gol.

Photos: asiana.my