Misi wajib menang Harimau Malaya

Selepas meraih mata pertama dalam saingan kelayakan Piala Asia Kumpulan B dengan keputusan seri 1-1 ketika menentang Hong Kong di Melaka September 5 lalu, Harimau Malaya kini bakal berdepan lawan sama di laman lawan Oktober 10 ini untuk aksi ketiga kelayakan.

Ia sepatutnya menjadi aksi keempat kelayakan namun, pertemuan Korea Utara-Malaysia di Pyongyang yang dijadualkan Oktober 5 tertunda sekali lagi.

Ini merupakan kali ketiga Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) terpaksa menunda aksi membabitkan dua negara itu selepas Kementerian Luar Negara mengeluarkan perintah larangan buat warga Malaysia ke Korea Utara.

Pemain juga perlu lebih tajam di kawasan penalti lawan dan menyudahkan peluang yang diraih bagi memastikan kemenangan

Penundaan ini menyaksikan skuad kendalian Nelo Vingada akan sekali lagi berdepan Hong Kong.

Selepas aksi dengan Hong Kong di Melaka, tidak banyak keistimewaan yang boleh diperkatakan mengenai skuad kendalian Kim Pan Gon ini.

Sebahagian besar pemain yang diturunkan adalah pemain natrulisasi yang sudah menjangkau umur 30-an malah, barisan negara lebih banyak menguasai perlawanan.

Namun, pemain negara juga perlu mengambil kesempatan daripada penundaan aksi dengan Korea Utara sekaligus memastikan tiga mata mampu diraih kali ini.

Pemain juga perlu lebih tajam di kawasan penalti lawan dan menyudahkan peluang yang diraih bagi memastikan kemenangan.

Nelo Vingada

Kegagalan merakam kemenangan mungkin akan menyukarkan peluang negara ke pusingan akhir Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Vingada mengotakan janjinya sebelum ini untuk memberi peluang kepada pemain skuad B 22 tahun negara yang cemerlang di Sukan Sea Kuala Lumpur lalu bersama barisan senior.

Sudah pasti ramai pemerhati dan peminat tertanya - tanya mengapa N Thanabalan tidak disenaraikan Vingada

Enam pemain skuad B22 tahun negara yang dibarisi penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim, Safawi Rasid (JDT), Matthew Davies, Nor Azam Abdul Azih (Pahang), Adam Nor Azlin (Selangor) dan Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang).

Seorang lagi muka baru yang dipanggil ialah pemain tengah JDT, Nazmi Faiz Mansor.

Keenam-enam pemain itu adalah tonggak utama negara di Sukan Sea lalu, hanya Ifwat pada pertengahan temasya itu kehilangan tempat kepada penjaga gol JDT, Haziq Nazli.

Sudah pasti ramai pemerhati dan peminat tertanya - tanya mengapa N Thanabalan tidak disenaraikan Vingada.

Namun, Vingada sudah menjelaskan kepada beberapa media arus perdana sebelum ini bahawa penyerang Felcra FC itu akan diberi peluang.

Cuma Vingada berasa bukan untuk aksi kelayakan kali ini walaupun akui, Thanabalan seorang pemain istimewa yang bijak berada dalam posisi melakukan jaringan.

Selain Thanabalan, penulis sebenarnya tertanya-tanya mengapa bek kiri JDT, Fazly Mazly dan pertahanan tengah Harimau Selatan, Fadhli Shas tidak tersenarai sedangkan Aidil Zafuan Abdul Radzak kini menjalani penggantungan perlawanan.

Apa pun Vingada mempunyai justifikasi sendiri untuk tidak memanggil dua pemain itu namun, persoalan ini pasti akan timbul seandainya keputusan positif gagal diperoleh di Hong Kong.

Barisan negara wajib melakar kemenangan di Hong Kong dan mengambil kesempatan di atas penundaan aksi Korea Utara-Malaysia

Selepas dua aksi kelayakan, Malaysia kini di tangga tercorot dengan hanya satu mata, namun jurang mata antara pasukan tangga kedua, Korea Utara dan ketiga, Hong Kong begitu rapat dan hanya Lubnan selesa memimpin kumpulan dengan tujuh mata.

Kerana itu, barisan negara wajib melakar kemenangan di Hong Kong dan mengambil kesempatan di atas penundaan aksi Korea Utara-Malaysia.

Apabila AFC menentukan tarikh baru perlawanan, besar kemungkinan dua perlawanan berdepan Korea Utara akan berlansung di gelanggang berkecuali November depan.

Jika itu berlaku, ia memang merintis kemungkinan buat barisan negara merakam keputusan positif namun, ia terpulang juga buat pemain merealisasikan kemungkinan itu di atas padang.

FourFourTwo kali ini juga meninjau kelibat tujuh muka baru yang dibariskan Vingada untuk aksi dengan Hong Kong.

1. Ifwat Akmal Chek Kassim

Dia penjaga gol utama Lang Merah musim ini dengan aksi konsisten sepanjang musim, serta turut membantu pasukannya meraih kejuaraan Piala FA.

Ketika di temasya Sukan Sea Kuala Lumpur, dia memulakan aksi pertama negara berdepan Brunei selaku pilihan utama namun, pengendali skuad B-22 Tahun negara, Datuk Ong Kim Swee kemudian memberi kepercayaan kepad Haziq Nazli selaku benteng akhir pasukan.

2. Matthew Davies

Tanpa Rizal Ghazali yang menjalani penggantungan perlawanan, Davies tampak pilihan utama mengisi posisi bek kanan.

Bekas pemain Perth Glory dalam saingan Liga A Australia ini sebenarnya turut memberi variasi taktikal buat Vingada.

Di temasya Sukan Sea, Kim Swee menggunakan formasi 3-4-3 di mana Davies cemerlang selaku bek sayap kanan skuad negara.

Davies juga adalah kapten dan bek kanan utama Pahang sejak 2015.

3. Nor Azam Abdul Azih

Pemain tengah ini tampak tenang mengemudi jentera tengah pasukan negara di Sukan Sea lalu.

Musim ini juga menyaksikan Nor Azam kerap membarisi kesebelasan utama Pahang dalam saingan Liga Super.

Anak jati Pahang ini juga mempunyai kemampuan melakukan jaringan menerusi percubaan dari luar kotak penalti lawan.