Pick a Side

MSL: Pilihan XI terbaik

Sudah tentunya Farizal Marlias akan berada didalam senarai kami. Tetapi penyerang utama kita bukan salah satu pemain Johor Darul Ta'zim.

We are part of The Trust Project What is it?

Musim 2018 menjadi saksi kegemilangan Johor Darul Takzim yang merangkul kejuaraan Liga Super buat kali kelima berturut-turut. 

Jadi tatkala musim sudah menutup tirai, kami menyingkap dan menyenaraikan kesebelasan terbaik Liga Super 2018. Berapa ramai pemain dari skuad sang juara masuk ke dalam senarai ini? Jom tinjau-tinjau : 

Farizal Marlias (JDT)

Tidak langsung menunjukkan kejatuhan prestasi walaupun lapan bulan menjalani penggantungan. 

Setelah merampas semula posisi penjaga gol utama pada perlawanan keempat, Farizal tidak berpaling dan beraksi dalam 18 perlawanan, mencatat 13 ‘clean sheets’ dan membantu JDT mencatat rekod defensif terbaik musim ini.

Lavere Corbin Ong (JDT)

Menyisihkan Fadly Mazlan yang mengenggam erat posisi pertahanan kiri Harimau Selatan tahun sebelumnya dan tampil dengan aksi cukup dominan dan meyakinkan. 

Pemain yang paling banyak digunakan Raul Longhi, tersisih hanya satu perlawanan itupun kerana penggantungan dan ia menceritakan betapa pentingnya watak pemain ini di barisan defensif JDT.

Marcos Antonio (JDT)

Pemain import paling lama yang bertahan di JDT dan orang tidak memanggilnya kereta kebal tanpa sebab. 

Kembali daripada kecerderaan ACL yang dialami penghujung tahun lalu tepat pada waktunya untuk menjadi tunjang kekuatan pertahanan JDT . Marcos merupakan antara sebab mengapa Farizal boleh beraksi dengan lebih yakin. 

Muslim Ahmad (Pahang)

Tahun 2018 boleh dikatakan tahun kebangkitan Muslim selepas mengharungi beberapa musim yang hambar sebelum ini.

Pahang adalah satu-satunya pasukan yang tidak menggunakan pemain import di bahagian pertahanan namun mereka adalah pasukan kedua paling sedikit dibolosi - terima kasih kepada aksi konsisten dan bertenaga bekas pemain kebangsaan di benteng terakhir tok gajah yang membentuk gandingan cemerlang walau dengan siapapun dia digandingkan.

asiana,my

Mathew Davies (Pahang)

Tidak ramai pemain yang boleh menggalas tekanan selaku pemain tonggak dan juga kapten pasukan pada usia 23 tahun apatah lagi dalam sebuah skuad besar seperti Pahang. 

Namun Matt berjaya melaksanakan tanggungjawab itu dengan cukup cemerlang - vokal dan cemerlang tanpa boleh digugat di posisinya. Antara sebab mengapa Dollah Salleh begitu keberatan melepaskannya ke skuad kebangsaan.

Hariss Harun (JDT)

Penyenaraian pemain ini nyata tidak perlu dipertikai. Kapten prolifik dan enjin tengah JDT. 

Karakter yang dikagumi dan disegani rakan sepasukan, membekalkan shielding yang cukup hebat kepada barisan pertahanan, tenang ketika memegang bola dan efektif ketika diperlukan di bahagian atas. 

Mohamadou Sumareh (Pahang)

Bahagian sayap Pahang mungkin lumpuh tanpa kelincahan dan aksi licik Sumareh. Tidak hairanlah dia diangkat begitu tinggi dan menjadi kesayangan penyokong Pahang. 

Cukup efektif dan antara pemain yang banyak terlibat di dalam jaringan-jaringan serta gerakan berbahaya dicipta tok gajah. 

Kadangkala Sumareh boleh bertindak sendirian untuk menjadi "match decider" dan dia adalah aset berharga Dollah Salleh. 

Leandro Santos (Perak)

Penguasaan tengah ditunjukkan pemain ini antara faktor kecemerlangan Perak musim ini. 

Perancang kreatif, dia dan Nasir Basharuddin berganding begitu baik bagi menjadikan Perak sebagai sebuah skuad yang menghiburkan untuk ditonton musim ini.  

Taruhan utama Mehmet Durakovic dan tidak pernah mengecewakan. 

Safawi Rasid (JDT)

Merupakan penyerang kedua terbanyak JDT dalam saingan liga dan berjaya membentuk gandingan cemerlang bersama Gonzalo Cabrera di barisan serangan JDT setiap kali diberi peluang. 

Sentuhannya berjaya menenggelamkan penyerang senior Ahmad Hazwan Bakri sekaligus membuktikan dia adalah penyerang terbaik tempatan masa kini. 

asiana.my

Ifedayo Olusegun (Melaka Utd)

Melaka bertindak cekap di dalam jendela perpindahan kedua untuk membawa masuk pemain yang berjaya merubah nasib mereka dan pemain ini boleh dikatakan rekrut yang paling berbaloi.

Sebelum kemasukan Ifedayo, Melaka merupakan pasukan paling sedikit menjaringkan gol dan pemain ini menunjukkan sentuhan jaringan yang cukup cemerlang apabila menjaringkan 8 gol dalam 10 perlawanan sekaligus membantu sang kancil memperbaiki kedudukan dalam liga.

Rufino Segovia (Selangor)

‘Goal-machine’. Menjaringkan gol menentang sembilan pasukan berbeza, hanya gagal menemui sasaran ketika menentang Perak dan Kedah. 

Muncul penjaring terbanyak Liga Super dengan 19 gol dan dia menunjukkan apa sebenarnya tugas utama seorang penyerang.