Nelo Vingada: Siapakah dia dan apakah yang perlu beliau lakukan di Malaysia

Jurulatih baru Malaysia, Nelo Vingada berdepan tugas sukar apabila dia hanya mempunyai masa kurang daripada sebulan untuk mempersiapkan pasukan ke perlawanan pertama di bawah kendaliannya. FourFourTwo meneliti rekod Vingada dan menyenaraikan lima perkara yang perlu dia lakukan di Malaysia.

Vingada merupakan jurulatih import pertama pasukan kebangsaan Malaysia selepas tempoh sedekad dan untuk rekod, dia tidak pernah berkhidmat di Asia Tenggara sebelum ini, kecuali pengalaman sebagai jurulatih kepada beberapa pasukan antarabangsa dalam benua yang sama.

Pernah menjadi penolong jurulatih kepada Carlos Queiroz yang mengendali skuad bawah-20 Portugal ketika itu, sebelum mengambil alih tugas daripadanya. Vingada telah melatih Arab Saudi, Jordan dan pasukan Olimpik Iran. Pengurus berusia 64 tahun ini juga pernah bertugas bersama kelab dari Korea, Portugal, Iran, Mesir dan India.

Antara pencapaian tertinggi Vingada sebagai ketua jurulatih ialah membantu Portugal meraih tempat ketiga dalam Piala Dunia bawah-20 1995, memenangi Piala Asia 1996 bersama Green Falcons dan merangkul kejuaraan double, Liga K dan juga Piala Liga bersama FC Seoul pada 2010.

Dia turut mempunyai rekod baik di Mesir bersama Zamalek, memenangi Liga Perdana Mesir, Piala Super CAF, Piala Super Arab-Mesir dan Liga Juara-Juara Arab pada 2003.

Vingada menyertai Malaysia selepas menamatkan tempoh perkhidmatan bersama kelab North East United yang bertanding dalam Liga Super India (ISL). Kelab yang dimiliki oleh pelakon dan penerbit filem, John Abraham, menduduki tempat kelima dalam saingan ISL 2016

Permulaan baru ke arah perubahan

Tiada masa untuk disia-siakan Malaysia selepas ketibaan Vingada

Tidak akan ada tempoh bulan madu buat Vingada kerana dia perlu persiapkan pasukan untuk menentang Lebanon pada 13 Jun untuk pusingan kelayakan Piala Asia, pertandingan yang dianggap pengurusan sebelum ini sebagai kayu pengukur prestasi bagi bekas jurulatih Malaysia, Ong Kim Swee.

Ong akan mempertahankan pendiriannya dan yakin Malaysia akan ke Piala Asia tetapi tanpa kerjasama Johor Darul Ta'zim (JDT) - Kelab terkuat negara inidia hanyalah menggali kuburnya sendiri.

Vingada tidak perlu menghadapi kesukaran sedemikian tatkala Tunku Ismail Sultan Ibrahim kini selaku Presiden FAM, telah memilih sendiri pengurus Portugis itu selepas menemuduga beberapa calon lain.

Masa adalah sesuatu yang jurulatih di Malaysia tidak gemarkan dan oleh itu, Vingada perlu segera memberikan impak positif terhadap FAM, pemain dan peminat.

Tempoh tarikh perlantikan dan ketibaannya, bagaimanapun, mungkin tidak memihak kepadanya kerana tiada sebarang perlawanan Liga Super Malaysia yang dijadualkan berlangsung sehingga tamat sesi rehat antarabangsa pada bulan Jun, bermakna tiada peluang untuk dia meninjau pemain yang dia mahukan.