Analysis

Pemain yang hebat di kelab, tenggelam bersama Harimau Malaya

5 pemain kelab yang cemerlang tetapi gagal ketika bermain untuk pasukan kebangsaan.

We are part of The Trust Project What is it?

Pemain yang dipanggil menyarung jersi pasukan kebangsaan datangnya daripada pemain yang menunjukkan aksi cemerlang dan merupakan tonggak kepada pasukan kelab masing-masing di pentas domestik. 

Kesemua pemain terbaik ini dikumpulkan untuk membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang mantap tetapi tidak semua pemain yang terbaik di peringkat kelab ini dapat mengulangi prestasi hebat yang ditunjukkan ketika bersama pasukan kebangsaan. 

Ada yang langsung tidak menjadi walaupun peluang diberi banyak kali, ada pemain pula bukannya tidak menjadi tetapi mereka tidak mendapat peluang yang wajar dan mempunyai masa yang terhad untuk membuktikan sesuatu, untuk mencipta impak. 

Berikut kami senaraikan lima pemain yang cemerlang bersama kelab tetapi gagal mengulangi impak sama bersama Harimau Malaya. 

Zainizam Marjan

Sentuhan jaringan adik kepada Matlan Marjan ini bersama Sabah tidak perlu lagi dipertikai. 

Zainizam tidak menunggu lama untuk mengukuhkan reputasi selaku antara penyerang berbisa bolasepak tanah air pada tahun kedua bersama Sabah pada 2002 apabila menjaringkan 11 gol dalam 14 perlawanan untuk membantu pasukan dari Borneo itu menamatkan musim di tempat ketiga Liga Perdana Satu. 

Ia pantas meyakinkan Allan Harris, pengendali skuad B-23 kebangsaan ketika itu untuk menyerap Zainizam ke dalam skuad senior dan dia merupakan anggota pasukan Sukan Asia Busan dan Piala Tiger pada 2002. Dia turut membuat penampilan menentang skuad Piala Dunia Brazil. 

Di sebalik ketajaman ditunjukkan bersama sang badak, Zainizam bergelut untuk menterjemahkan sentuhan sama bersama skuad negara. Dia tenggelam dalam kelibat pemain yang sudah sedia mengukuhkan nama sebagai tonggak antaranya Khalid Jamlus, Nizaruddin Yusoff dan Indra Putra Mahyuddin. 

Dia hanya berjaya menjaringkan dua gol sepanjang mewakili skuad senior Malaysia iaitu menentang Kemboja dalam aksi persahabatan. 

Manakala penampilan terakhir Zainizam dalam jersi Malaysia adalah di Sukan SEA 2003 di mana dia membantu Malaysia memenangi pingat gangsa. Dia menjaringkan satu gol ketika Malaysia tewas 3-4 kepada Vietnam di separuh akhir.

Pages