Analysis

Pentingnya pendidikan buat pemain bolasepak

Stigma bahawa penglibatan dalam sukan menganggu akademik serta sebaliknya perlu dikikis terlebih dahulu dan perlu ada keseimbangan antara kedua-duanya. 

We are part of The Trust Project What is it?
Jika anda menyuruh seorang penyokong untuk menyenaraikan ciri-ciri yang perlu ada pada seorang pemain bolasepak yang hebat, pelbagai skill, teknik dan kelebihan seorang pemain itu akan digariskan tetapi percayalah, ‘well-educated’ atau berpendidikan tinggi tidak akan sama sekali berada dalam senarai teratas atribut tersebut.
 
Jangan kata penyokong, tidak ramai dari kalangan pemain-pemain sendiri melihat pendidikan itu sebagai sesuatu elemen yang penting kerana bagi mereka bolasepak adalah sesuatu yang holistik dan tidak tertumpu, tidak terhad kepada satu aspek semata-mata. 
 
Mengapa pendidikan itu penting buat seorang pemain bolasepak? 
 
Tanpa belajar tinggi, tanpa mempunyai ijazah, diploma atau sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia sekalipun masih boleh mendapat gaji berpuluh ribu, pakai kereta mewah, miliki rumah banglo dan menjadi idola anak dara di luar sana, jika hebat bermain bola. 
 
Jadi kenapa perlu kisah tentang pendidikan? Jika anda juga mempunyai persepsi sama seperti itu, maka ia perlu diperbetulkan.
 

Membantu membina disiplin dan karakter pemain

Jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin adalah antara yang sentiasa menekankan kepentingan akademik buat pemainnya, malah baginya stigma bahawa penglibatan dalam sukan menganggu akademik serta sebaliknya perlu dikikis terlebih dahulu dan perlu ada keseimbangan antara kedua-duanya. 
 
Menurut Sulaiman yang sudah 10 tahun membimbing pemain daripada kalangan pelajar, banyak situasi di mana seorang pemain yang hebat, yang memukau di atas padang dengan skill menarik, aksi bertenaga, sentuhan cemerlang tetapi kemudiannya dikritik hebat kerana tindakan kurang bijak tidak menggunakan akal selepas itu. 
 
“Ramai ibu bapa menghantar anak ke akademi bolasepak dan sebagainya tetapi lupa tekankan tentang pelajaran. Bolasepak tidak hanya mengenai fizikal, kemahiran dan kecergasan yang kita boleh lihat secara luaran tetapi ia turut memerlukan pemain guna akal, daya fikir dan kreativiti. 
 
“Ada beza pemain yang berilmu dengan tidak, tahap permainan juga berbeza. Malah ia mempengaruhi sikap dan juga personaliti mereka di atas padang. Mereka boleh berfikir dengan matang dan boleh buat keputusan tepat dengan pantas,” kata Sulaiman.   
 
Tambahnya: “Mengapa Jepun dan Korea terlalu cepat membangun dalam bolasepak, kerana mereka tahu seorang pemain yang bagus mesti ada IQ yang bagus. Mereka tekankan kepada anak-anak, sesiapa mahu bermain di peringkat tinggi mesti ada paling kurang pun diploma, jika tidak, tidak boleh tandatangan kontrak professional di Liga Jepun atau Korea. Ini syarat yang ditetapkan persatuan bolasepak di sana. 
 
“Di Sukan Asia 2018 baru-baru ini ada lima pemain Jepun yang bermain dalam kesebelasan utama termasuk yang skor gol lawan Malaysia datang dari Kejohanan Universiti Dunia di Shenzhen. Rata-ratanya ada diploma, kematangan mereka berfikir dan cara bermain berbeza.”