Stories

Perjalanan Menakjubkan N’Golo Kante daripada Ligue 2 ke juara Piala Dunia

Pemain tengah yang berasal dari Paris itu mula mencuri tumpuan peminat dan pemerhati bola sepak dunia pada 2016 apabila beliau bersama rakan sepasukannya berjaya menumpaskan kelab-kelab gergasi Inggeris dan menghadiahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang pertama buat Leicester City dalam sejarah penubuhan kelab mereka.

We are part of The Trust Project What is it?

Kini nama N’Golo Kante tidaklah asing buat peminat bola sepak di seluruh dunia selepas berjaya menjulang Piala Dunia 2018 di Rusia baru-baru ini.

Namun begitu, tidak ramai di kalangan peminat-peminat yang mengetahui kisah suka dan duka pemain ini sebelum berjaya menjadi seorang pemain yang disegani dan merangkul pelbagai kejuaraan bersama kelab dan negaranya.

Berikut adalah kronologi perjalanan karier N’Golo Kante sepanjang menjadi pemain profesional;

Beraksi bersama kelab bawahan di Ligue 2 dan Divisyen 3 Perancis (2010-2015)

Pada peringkat awal kareer bola sepaknya, Kante bukanlah dianggap sebagai seorang pemain yang mempunyai potensi yang besar dan bermula di kelab-kelab ternama Eropah seperti pemain-pemain muda lain di zaman beliau, sebaliknya pemain ini  bermula dari bawah dan hanya bermain di depan 2,000 penyokong sahaja  bersama-sama Us Boulogne Co di divisyen tiga Perancis, yang juga merupakan kelab yang pernah diwakili bintang Bayern Munich, Frank Ribery.

Dalam satu temubual bersama The Sun, bekas rakan-rakan sepasukannya di Boulogne  menyifatkan beliau sebagai seorang yang berdikari dan bukanlah seorang yang suka bersosial sewaktu bersama mereka.

Mereka turut memberitahu Kante sentiasa menunggang ‘skuter’ untuk datang ke tempat latihan kerana tidak mampu untuk memiliki kereta pada ketika itu dan rakan-rakan nya terpaksa merayu agar Kante menumpang kenderaan mereka untuk ke tempat latihan.

Setelah bermain selama tua musim bersama Boulougne, Kante mula mengorak langkah dan berhijrah keluar untuk beraksi dengan bersama satu lagi kelab dari Ligue 2, SM Caen.

Ternyata, pilihan untuk Kante berhijrah adalah sesuatu yang tepat untuk kariernya apabila dia berjaya membantu Caen untuk layak beraksi di Ligue 1 pada musim 2014-2015.

Ligue 1 dan Leicester dan Euro 2016

Setelah berjaya mendaki ke Ligue 1 bersama Caen, Kante seakan- akan tidak menoleh ke belakang lagi apabila berjaya membuat 38 penampilan bersama mereka dan berjaya memikat jurulatih Marseille ketika itu, Marcelo Bielsa untuk mengikat beliau pada jendela perpindahan akan datang.

Walaubagaimanapun, hasrat Marseille untuk mendapatkan beliau pada musim panas itu akhirnya gagal selepas Leicester City datang dengan tawaran yang lebih lumayan daripada mereka.

Dengan nilai perpindahan sebanyak 8 juta pound, Kante akhirnya menjadi pemain pilihan Leicester bagi  menggantikan seorang lagi pemain mereka, Esteban Cambiasso yang membuat keputusan untuk berpindah ke Olympiakos pada musim panas tersebut.

Di England, Kante sekali lagi melakukan magis-nya dengan membantu Leicester City memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang pertama dalam sejarah kelab mereka. Di bawah kendalian jurulatih berasal dari Itali ketika itu, Claudio Ranieri, nama N’Golo Kante mula menjadi sebutan peminat-peminat The Foxes bersama-sama dengan Jamie Vardy dan Riyad Mahrez.

Bekas pemain Leicester dan England, Gary Lineker menyifatkan kejayaan Leicester City pada musim tersebut sebagai sesuatu yang mustahil dan merupakan kejutan paling besar dalam sejarah bola sepak dan sesuatu yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Susulan persembahan yang membanggakan bersama The Foxes, Kante akhirnya dipilih oleh Didier Deschamps untuk mewakili Perancis di kejohanan Euro 2016 dan menyaksikan mereka pulang sebagai naib juara selepas ditewaskan oleh Portugal di perlawanan akhir.

Seakan-akan tidak mahu berhenti di situ, Kante sekali lagi berhijrah dan memilih untuk bersama Chelsea dan menjadi satu-satunya pemain yang meninggalkan The Foxes selepas memenangi kejuaraan pada musim sebelumnya.