Permata veteran Liga Super Malaysia

Liga Perdana Inggeris pernah dibarisi tonggak veteran seperti Ryan Giggs manakala  Francesco Totti pula mewarnai Serie A sehingga berusia 40 tahun. Saingan Liga Super Malaysia (MSL) turut mempunyai kelibat beberapa permata veteran yang masih mengerah kudrat mereka sehingga kini.

FourFourTwo kali ini menampilkan lima pemain senior yang masih mewarnai kancah Liga Super sehingga musim ini.

SAFEE SALI

Kemunculan Awal Bersama Kuala Lumpur 2002-2004:

Bakat awal Safee diasah ketika dia di Sekolah Menengah Cochrane dari 1997 hingga 2001 yang ketika itu, turut menyalurkan pemain terbaik mereka ke Akademi Bola Sepak Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Bukan mudah untuk mana-mana pemain tempatan ke Indonesia, tetapi saya ke sana kerana ingin mengembangkan karier saya dan merasai pengalaman menjadi pemain import di luar MSL

Selepas beraksi dalam saingan pelbagai peringkat bawah umur buat Kuala Lumpur dan remaja kebangsaan, Safee diserap ke skuad bawah 19 tahun Kuala Lumpur ketika berusia 17 tahun dan terus ke skuad utama warga kota pada 2002 tanpa bermain di peringkat Piala Presiden.

Selepas skuad warga kota tidak layak ke Piala Malaysia 2002, Safee dipinjamkan ke Telekom Melaka pada hujung musim tersebut.

Haluan baru bersama Sarawak 2005-2006:

Potensi dan aksi konsisten pada musim 2003 dan 2004 bersama Kuala Lumpur menyaksikan Safee kemudian memilih haluan baru dengan menyertai Sarawak pada 2005 dan kekal dengan mereka sehingga 2006.

Musim 2006 menyaksikan Safee mengalami kecederaan lutut ACL dan tersisih lama menyebabkan kelibat bersama skuad senior negara turut terbatas ketika itu.

Safee has had some top moments in national colours

Era Gergasi Merah 2007-2010 & Bintang Piala Suzuki 2010:

Musim 2007 menyaksikan skuad Selangor melakukan pertaruhan dengan mengambil Safee yang baru beransur pulih daripada kecederaan.

Namun, ia adalah pertaruhan yang berbaloi kerana Safee kembali mempamerkan taringnya dengan membantu Selangor muncul naib juara Piala Malaysia dan FA pada musim 2008.

Musim 2009 dan 2010 terus menyaksikan kecemerlangan Safee yang meraih kejuaraan Liga Super dua kali dan sekali Piala FA.

Musim 2010 turut memperlihatkan kecemerlangan Safee dalam membantu skuad negara meraih kejuaraan Piala Suzuki AFF dan lebih manis muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan lima gol.

Kembara Indonesia 2011-2012:

Safee kemudian melakar sejarah apabila menjadi pemain pertama negara ke Liga Super Indonesia apabila menyertai Pelita Jaya dari 2011 hingga 2012.

"Bukan mudah untuk mana-mana pemain tempatan ke Indonesia, tetapi saya ke sana kerana ingin mengembangkan karier saya dan merasai pengalaman menjadi pemain import di luar MSL.

"Saya sifatkan tempoh dua musim di Indonesia sebagai satu kejayaan kerana saya muncul antara penjaring terbanyak Liga Super Indonesia pada 2012 dan berjaya juga meningkatkan reputasi kelab itu," kata Safee yang juga kapten Pelita Jaya pada 2012.

Playing with his latest club, PKNS

Era Harimau Selatan 2013-2016:

Selepas dua musim di Indonesia, Safee kembali ke Malaysia dan menerima tawaran Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2013 dan kekal dengan kelab itu sehingga 2016.

"JDT mempunyai pengurusan profesional dan prasarana terbaik dalam kalangan semua pasukan di Malaysia ketika ini.

"Namun, saya turut menghadapi kesukaran di sana kerana perlu bersaing merebut tempat dalam suasana kompetitif dengan pemain tempatan dan import terbaik liga.

"Apa pun, saya meraih kejayaan tertinggi peringkat kelab dengan meraih kejuaraan Piala AFC 2015 dan lebih manis, saya beraksi dalam kesebelasan utama di final berdepan Istiklol di Tajikistan.

"'Lucho' ( Luciano Figueroa) pula adalah pemain import terbaik yang pernah saya bergandingan di JDT, dia sentiasa profesional di dalam dan di luar padang serta menjadi contoh buat pemain lain," kata Safee.

Nearing the end of his career, Safee is providing great leadership

Kembali ke Lembah Klang 2017:

Selepas empat musim bersama JDT, Safee sekali lagi berhijrah pada usia 33 tahun dan kembali ke Lembah Klang bersama PKNS FC.

"Selepas empat musim di JDT, saya fikir ia adalah waktu sesuai untuk kembali ke Lembah Klang dan PKNS FC tampak kelab sesuai buat saya.

"Saya gembira di PKNS kini dan percaya saya mampu beraksi dua atau tiga tahun lagi di peringkat tertinggi.

"Saya sudah merasai hampir kesemua kejuaraan di MSL tetapi misi saya belum selesai kerana saya masih belum lagi meraih kejuaraan Piala Malaysia," kata Safee yang kini sudah berusia 34 tahun.

Pages