Analysis

Pertarungan Piala Malaysia: Menilai prospek keempat-empat jurulatih

Selepas tamatnya saingan suku akhir kedua, Johor Darul Ta’zim (JDT), Perak, Kedah dan Felda United berjaya ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

We are part of The Trust Project What is it?

FourFourTwo kali ini meninjau kemampuan empat jurulatih yang membawa pasukan mereka ke peringkat separuh akhir dan membuat ramalan terhadap peluang mereka untuk menjulang kejuaraan.

Ulisses Morais (Johor Darul Ta’zim)

Jurulatih kelahiran Portugal yang berusia 57 tahun ini mempunyai pengalaman luas mengendalikan beberapa kelab Divisyen Satu Portugal sebelum ke JDT.

Walaupun kurang mahir berbahasa Inggeris, Morais membuktikan bola sepak adalah sukan universal dan tetap berupaya mengendalikan pasukan dengan baik.

Walau bagaimanapun, ia tidak boleh dinafikan bahawa dia dikurniakan barisan pemain tempatan, import dan kacukan terbaik Liga Super (MSL).

Namun, sejak beliau menggantikan Benjamin Mora di pertengahan musim ini, corak permainan JDT juga telah berubah dan tampak lebih menyerang ketika ini.

Kedatangan Morais juga membuat JDT lebih berbahaya dalam gerakkan 'set piece' samaada ketika pengambilan sepakan penjuru mahupun sepakan percuma.

Pemain- pemain JDT juga kelihatan selesa dengan kaedah Morais mengendalikan pasukan walaupun dia tetap mengutamakan aspek disiplin.

Ramalan: Ke peringkat akhir dan kemungkinan untuk merangkul kejuaraan Piala Malaysia

Mehmet Durakovic (Perak)

Durakovic adalah antara segelintir bekas pemain import MSL yang berjaya membina kredibiliti yang baik sebagai jurulatih.

Bekas kapten dan tunggak pertahanan Selangor ini berjaya membimbing Gergasi Merah ke peringkat akhir Liga Super 2014.

Walaupun akhirnya tewas dan Selangor hanya muncul sebagai naib juara, ia adalah satu pencapaian yang membanggakan kerana beliau baru menjadi jurulatih buat satu musim.

Meskipun corak permainan Durakovic disoal oleh segelintir peminat yang tidak menggemari caranya yang memberi lebih tumpuan kepada pertahanan dan serangan balas, bekas pertahanan antarabangsa Australia ini senyapkan segala kritikan apabila beliau berjaya membimbing Selangor untuk merangkul kejuaraan Piala Malaysia 2015.

Skuad Selangor ketika itu tampak kurang ampuh dengan kehilangan beberapa pemain utama ke pasukan lain. Namun, ia tidak menghalang Durakovic membentuk barisan ampuh untuk mencapai misi 33 Selangor.

Kini bersama Perak, Durakovic memiliki barisan pemain lebih baik berbanding ketika dia di Selangor.

Akan tetapi, Perak bakal berdepan JDT di separuh akhir secara timbal balik dan ia kelihatan seperti satu tugasan yang sukar.

Hakikatnya, Perak tidak memiliki kekuatan pasukan yang menyeluruh berbanding JDT musim ini.

Melainkan Durakovic mampu melakukan keajaiban seperti bersama Selangor, ia akan menjadi satu kejutan besar jika mereka mampu menewaskan JDT untuk mara ke peringkat akhir.

Ramalan: Perjalanan berakhir di peringkat separuh akhir namun, Perak akan memberi tentangan sengit kepada JDT.