PREVIU PENUH: STADIUM BUKIT JALIL

Bagaimanakah rupa Stadium Bukit Jalil yang baru? Apakah penambah-baikan yang dilaksanakan? FourFourTwo persembahkan kepada anda previu penuh stadium gah yang bakal dibuka Malaysia tidak lama lagi...

Dibina pada tahun 1998 untuk Sukan Komanwel, Stadium Bukit Jalil adalah nadi utama sukan Malaysia yang juga dikelilingi oleh beberapa stadium hoki, pusat akuatik, stadium tertutup dan arena skuasy.

Setelah menganjurkan Piala Asia pada tahun 2007 dan perlawanan-perlawanan pertunjukan yang melibatkan pasukan hebat England seperti Manchester United, Liverpool, Chelsea dan Arsenal suatu masa dulu, stadium ini sememangnya tidak asing lagi. Ia juga dinamakan dalam senarai 100 Stadium Bola Sepak Terbaik Dunia oleh FourFourTwo tahun lepas.

Read the English version here!

Bukit Jalil yang telah menjadi kebiasaan ramai itu bagaimanapun akan terus berada dalam ingatan apabila pembangunan dua fasa di kawasan itu - sebelum dan selepas Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur – bakal meletakkan Bandar Sukan KL dalam peta sukan Asia pada tahun mendatang.

Hub sukan ikonik Singapura dijangka bakal mendapat pesaing baru yang berjarak kurang daripada sejam penerbangan.

Fasa Satu, yang melibatkan pembangunan stadium dan kemudahan sukan lain di kawasan itu, berakhir pada bulan Julai 2017. Tiada sebarang perubahan besar yang bakal dilaksanakan di bawah Fasa Dua, tetapi pembangunan semula secara besar-besaran kawasan sekelilingnya akan berterusan sehingga tahun 2021, menyebabkan penggunaan stadium masih belum boleh dilaksanakan.

Oleh itu, untuk setengah tahun pada 2017, Stadium Bukit Jalil akan menawarkan gambaran mengenai apa yang berlaku apabila debu akhirnya selesai.

KAPASITI

Adakah saiz yang menjadi ukuran?

Secara rasmi, stadium Bukit Jalil boleh memuatkan 87,411 orang - yang terbesar di Asia Tenggara selepas Gelora Bung Karno di Indonesia mengurangkan kapasiti pada tahun 2007 - tetapi tidak boleh disangkal lagi jumlah kehadiran tertinggi mungkin telah melebihi enam angka setelah ribuan orang dilihat memenuhi seluruh pelusuk tangga, koridor dan bahkan menceroboh masuk ke kawasan media semasa perlawanan berprofil tinggi pada masa lalu.

Pembinaan tingkat baru tempat duduk korporat dilakukan untuk menambah kapasiti kepada 90,000. Sekiranya sejarah berulang dari segi kepadatan, angka ini dijangka boleh melambung tinggi lagi.

Aras baru - Aras 3M - sedang dibina antara aras dua dan tiga yang berada berhampiran kawasan grandstand dan hanya boleh diakses dari lobi stadium.

Stadium ini merupakan destinasi pilihan bagi kelab Eropah yang ingin menjadikan Asia Tenggara sebagai salah satu hentian untuk memperluaskan pangkalan peminat mereka dan mengeksploitasi keuntungan jualan komersial. Setakat ini, belum ada stadium yang lebih besar di Asia, kecuali jika Korea Utara berada dalam radar mereka.

PEMODENAN

Dengan rancangan pembangunan semula utama yang bakal berjalan di sekitar kawasannya bermula tahun 2018, banyak langkah yang telah diambil untuk memastikan stadium berusia 18 tahun itu kekal menonjol.

Bukit Jalil bakal mempunyai fasad baru, struktur tegak berwarna perak bagi tujuan penambah-baikan imej yang lama. Pada waktu malam, fasad ini boleh bertindak menjadi pertunjukan lampu dan warnanya boleh diselaraskan mengikut kesesuaian acara.

Banyak lagi landskap yang dirancang di sekitar stadium untuk menggalakkan orang ramai melihat kawasan itu sebagai destinasi riadah petang.

Bilik persalinan, kawasan pemanasan badan, laluan pejalan kaki, pintu masuk dan kawasan media sedang direkabentuk semula manakala lobi stadium melalui proses penstrukturan semula bagi memberi ruang kepada eskalator dan lif baru ke ruangan korporat.

Tempat duduk penonton juga melalui proses penambah-baikan untuk memenuhi piawaian Kebakaran & Keselamatan semasa.

Stadium itu juga mendapat trek olahraga baru tetapi padang bola sepak kekal sama setelah Perbadanan Stadium Malaysia (MSC) menegaskan yang padang itu telah diurus dengan baik walaupun renovasi masih giat dijalankan.

BERTEKNOLOGI TINGGI

Sedikit pertimbangan diberikan ke dalam aspek teknologi semasa stadium itu mula dibina. Selain daripada penampilan dan papan skor digital, Bukit Jalil masih jauh dari apa yang digelar stadium berteknologi tinggi.

Selama bertahun-tahun, stadium ini mempunyai reputasi buruk dalam isu kesesakan talian telefon dan sambungan internet yang tidak stabil. Kakitangan media menganggap diri mereka bertuah jika wujudnya perkhidmatan wi-fi, dan sama ada sambungannya itu stabil atau tidak, merupakan masalah kedua, tidak seperti sambungan pantas yang stabil di stadium utama di seluruh dunia.

Namun, itu semua bakal berubah kerana stadium akan dipasang dengan kabel fiber optik untuk memberikan sambungan berkelajuan tinggi. Penonton juga akan menikmati perkhidmatan wi-fi pra-bayar, jadi kesesakan di stadium bukan lagi satu masalah tiada talian.

Penambahbaikan lain termasuk stesen tetap untuk kamera penyiaran, skrin besar berdefinisi tinggi dan lampu LED yang boleh dikawal untuk memenuhi keperluan yang berbeza seperti perlawanan bola sepak, pertandingan olahraga atau konsert.

MSC juga membina aplikasi mudah alih untuk membolehkan pelawat mendapat akses yang lebih baik kepada setiap maklumat yang ada di stadium dan tarikan sampingannya. Bagaimanapun, aplikasi penuhnya dijangka hanya akan diketahui sekali lagi apabila kemudahan lain diperkenalkan pada tahun 2021.

MSC sedang berusaha untuk memaksimumkan penglibatan orang awam dengan harapan ia akan menarik pengunjung secara tetap.