Stories

Safiq Rahim, Pengumpul Pingat: Kapten paling berjaya di era bola sepak moden Malaysia

Kejayaan membantu Johor Darul Ta'zim (JDT) merangkul kejuaraan Piala Malaysia 2017 pada 4 November lalu, menjadikan Safiq Rahim kini antara beberapa pemain yang sudah merasai hampir kesemua kejuaraan yang boleh dimenangi seseorang pemain tempatan.

We are part of The Trust Project What is it?

PERMULAAN KERJAYA

Lebih menarik, segala kejayaan yang diraih Safiq adalah ketika dia memakai lilitan kapten pasukan.

Safiq mula dikenali peminat tempatan seawal usia 17 tahun, apabila dia membarisi skuad kebangsaan bawah 20 tahun kendalian Datuk K Rajagobal pada 2004.

Safiq merupakan kapten pertama sebuah kelab Liga Super untuk menjulang kejuaraan liga empat kali berturut-turut

Rajagobal ketika itu baru saja mengambil alih tugas dari Jovan Viera, 14 hari sebelum saingan AFC bawah 20 Tahun (kini bawah 19 Tahun) yang berlansung di Johor Baharu dan Kuala Lumpur.

Selain Safiq, pemain-pemain lain yang turut membarisi pasukan itu termasuk Norshahrul Idlan Talaha, Aidi Zafuan and Zaquan Adha Abdul Radzak serta Azlan Zainal.

Biarpun persiapan singkat, Safiq dan rakan-rakan tampil cemerlang dan berjaya ke suku akhir kejohanan dan hanya selangkah lagi ke Piala Dunia Bawah 20 Tahun 2005.

Namun, skuad China terlalu ampuh apabila diperkuatkan bekas pemain remaja Manchester United, Dong Fangzhou.

Apa pun, Safiq berjaya menjelmakan potensi awalnya selaku perancang tengah di kejohanan itu.

Safiq turut membarisi skuad remaja negara yang layak ke saingan AFC Bawah 20 Tahun edisi 2006 di India.

Malangnya, masalah kecederaan beberapa tonggak menyaksikan skuad negara gagal melepasi peringkat kumpulan.

LIGA SUPER:

Safiq meraih kejuaraan liga pertamanya bersama Selangor pada musim 2010.

Dua musim pertama bersama skuad utama Selangor pada 2007 dan 2008 menyaksikan Safiq terpaksa bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Demi mendapatkan lebih banyak masa bermain, Safiq berhijrah ke KL Plus FC (kini sudah dibubarkan) pada musim 2009.

Meskipun tidak meraih kejuaraan di Plus, Safiq tampak lebih matang sehingga FAS kembali memanggilnya untuk menguatkan skuad Selangor pada 2010.

Dari musim 2011 sehingga 2012, Safiq tidak memenangi sebarang kejuaraan bersama Selangor dan akhirnya mengambil keputusan berhijrah ke JDT pada 2013.

Di JDT, Safiq berjaya meraih kejuaraan Liga Super dari 2014 hingga 2017 dan pada masa sama, Safiq turut mendapat kepercayaan selaku kapten pasukan Harimau Selatan.

Safiq juga merupakan kapten pertama sebuah kelab Liga Super untuk menjulang kejuaraan liga empat kali berturut-turut.