Semangat Kejiranan — 11 pemain import Asia tenggara yang sensasi di Malaysia

Malaysia amat mengalu-alukan kedatangan pemain import dari negara-negara jiran di Asia Tenggara, dengan kebanyakan pemain-pemain ini berasal dari Singapura, Thailand, Indonesia dan Myanmar. FourFourTwo telah menyenaraikan 11 nama yang pasti masih anda ingati…. 

BAMBANG PAMUNGKAS

Walaupun Andik Vermansyah telah bersama dengan Selangor lebih lama dan juga merupakan pemain kegemaran peminat, namun Bambang akan sentiasa menjadi cinta pertama pasukan Gergasi Merah – dan Andik akan selamanya dibandingkan dengan pemain lagenda ini.

Namanya amat terkenal di tanah air dek kerana rekod jaringan untuk kelab mahupun negara, Bambang yang tiba pada tahun 2005 bersama dengan Elie Aiboy (dipaparkan di bawah) untuk memperkuatkan skuad Selangor menjelang kempen Liga Perdana Malaysia 2005 selepas pasukan itu gagal menjulang piala musim sebelumnya.

Bambang menjaringkan 23 gol dalam 24 perlawanan menyelusuri perjalanan untuk memenangi kejuaraan liga dan menjaringkan 18 lagi dalam pertandingan lain seterusnya memenangi Piala FA dan Piala Malaysia, menyempurnakan piala treble dalam satu musim.

Dia tidak begitu prolifik dalam musim keduanya tatkala Selangor gagal mengulangi pencapaian 2005 mereka. Bambang kembali ke Persija Jaya pada 2007 dan masih bermain untuk kelab itu hari ini, begitupun pernah menjalani tempoh singkat di Pelita Bandung Raya pada tahun 2014.

FANDI AHMAD

Anak emas Singapura – Fandi Ahmad – terlebih dahulu merupakan satu fenomena di Kuala Lumpur dan Pahang sebelum Hariss Harun menyedari peluang dan memutuskan untuk berpindah ke negara jiran.

Pernah dikehendaki oleh kelab Belanda, Ajax Amsterdam, dan kelab Switzerland, Young Boys, Fandi menandatangani kontrak dengan KL selepas mengakhiri tempoh khidmat bersama Groningen di Belanda. Fandi adalah sebahagian daripada skuad KL yang mendominasi Piala Malaysia dari 1987-1989. KL juga pernah memenangi gelaran liga teratas pada tahun 1988.

Dia kemudian berpindah ke Greece, menyertai OFI Creet untuk seketika pada tahun 1990 tetapi ianya ternyata hanya sekadar episod duka dan dia memilih untuk kembali ke Malaysia, kali ini mewakili Pahang.

Fandi memenangi liga dan dua piala pada tahun 1992 sebelum kembali ke Singapura pada tahun berikutnya. Fandi yang juga pernah bermain dalam perlawanan pertunjukan untuk Selangor menentang Boca Juniors pada tahun 1982, kembali ke Malaysia kali ini sebagai jurulatih JDT pada tahun 2013 namun tiada sebarang pencapaian yang boleh dibanggakan sepanjang tempoh khidmat singkatnya di sana. Walau bagaimanapun, dia berjaya memenangi Piala FA 2015 bersama LionsXII.

ATTAPHOL BUSPAKOM

Liga Super Malaysia (MSL) kini tidak lagi menarik perhatian pemain Thai, tetapi terdapat beberapa pemain yang pernah bermain di Malaysia pada akhir 1980-an dan 1990-an.

Pahang menandatangani Attaphol pada tahun 1990 setelah sekian lama menggemari pemain Thailand seperti Piyapong Pue-on, Ronnachai Sayomchai dan Vithoon Kijmongkolsak. Tetapi, tempoh pertamanya di Malaysia sekadar hambar dan pemain tengah itu kembali ke Thai Port.

Namun, Attaphol kembali ke Kuantan pada tahun 1994 dan membantu Tok Gajah merangkul gelaran liga 1995. Pahang juga berjaya melangkah ke pentas final Piala FA dan Piala Malaysia tetapi tewas kepada Sabah dan Selangor.

Attaphol kemudiannya pulang ke Thailand sebelum memperoleh lesen jurulatih. Dia telah memenangi banyak trofi domestik selaku jurulatih di Thailand dan memimpin BEC Tero Sasana ke tempat kedua dalam Liga Juara-Juara AFC 2002/03. Dia meninggal dunia di usia 52 tahun pada April 2016 akibat jangkitan darah.

Pages