Stories

Siri 1 : Pemain yang ‘hilang’ setelah menjanjikan masa depan yang cemerlang

Sejak mula-mula ditubuhkan pada 2007 sehinggalah pembubarannya pada 2015, Harimau Muda tidak dinafikan telah berjaya melahirkan dan mengetengahkan ramai pemain-pemain berbakat serta berkualiti tinggi.

We are part of The Trust Project What is it?

Pemain-pemain seperti Muslim Ahmad, Ahmad Hazwan Bakri, Fadhli Shas, Wan Zaharulnizam Zakaria, Nazirul Naim Che Hashim dan Gary Steven Robbat hanyalah beberapa contoh yang pernah digilap melalui program Harimau Muda.

Namun, dalam masa sama, terdapat ramai lagi pemain yang pernah menjanjikan potensi cerah dan digelar bintang masa depan tetapi akhirnya hilang dari radar. Ada yang berhenti bermain, ada yang bermain sekadar meneruskan karier.

Dalam siri pertama artikel ini, kami senaraikan lima daripada pemain tersebut.   

Shakir Ali

Salah seorang penjaring gol prolifik pernah disaksikan ketika usia remajanya.

Shakir merupakan nama yang mencetus fenomena dalam arena bola sepak tanah air pada awal pembabitannya bersama pasukan Piala Presiden Kedah.

Deretan aksi cemerlang menyaksikannya diserap ke skuad Harimau Muda dan dia pantas membalas kepercayaan dengan meledak 17 gol dalam kempen Liga Premier 2009 untuk membantu pasukan itu muncul juara.

Shakir kembali ke Kedah pada 2010 untuk berada dekat dengan ayahnya yang sakit namun gagal untuk menterjemahkan prestasi seperti musim sebelumnya hingga tersisih dari kesebelasan utama. Kegagalan bermain lebih kerap dengan Kedah dari 2010 hingga 2011 menyaksikan dia berhijrah ke Negeri Sembilan setahun kemudian.

Ia membawa tuah apabila karier Shakir kembali melonjak apabila dia meledak 10 gol dalam 18 perlawanan sehingga kembali dipanggil menyarung jersi kebangsaan namun kontraknya tidak disambung pasukan itu menyaksikannya berhijrah ke Kelantan (2014) dan sekali lagi kembali ke Kedah pada 2015. 

Demi memulihkan karier yang merudum dia menyertai PKNS FC pada 2016 namun gagal mendapat tempat dan dipinjamkan ke PDRM. Dia juga telah merubah posisi dari penyerang ke pertahanan agar beroleh lebih peluang tetapi malang menimpa apabila belumpun sempat membuat penampilan bersama PDRM, dia mengalami kecederaan lutut dan tersisih.

Dia menghabiskan semusim untuk merawat kecederaan dan tidak mendapat sebarang tawaran dari mana-mana pasukan. Kini dia lebih banyak bermain di Liga Sosial untuk menjaga kecergasan. 

A. Thamil Arasu

Mula mencipta nama ketika usianya 18 tahun apabila muncul sebagai penjaring terbanyak Kejohanan AFF B-19 di Vietnam yang mana Malaysia melangkah sehingga ke separuh akhir.

Thamil kemudiannya menjadi tulang belakang skuad Harimau Muda yang menjuarai Liga Premier pada 2009 dan mengukuhkan reputasinya sebagai salah seorang penyerang muda terbaik dalam negara.

Pernah membantu skuad Harimau Muda menang emas Sukan SEA 2011 dan kemudiannya mara ke separuh akhir Sukan SEA 2013. Sepatutnya tersenarai dalam skuad yang membawa cabaran di Sukan Asia 2014 tetapi digugurkan saat akhir kerana kecederaan belakang yang dialami ketika perlawanan persahabatan.

Karier bolasepak Thamil sebenarnya berkubur apabila menyertai Selangor sejurus keluar dari Harimau Muda. Selama dua musim, dia tidak banyak mendapat peluang untuk beraksi dan kerap memanaskan bangku simpanan. Walaupun mendapat lebih peluang ketika bersama Kuala Lumpur pada 2016, dia gagal memberi impak.

Selepas tidak beraksi hampir setahun, penyerang yang kini berusia 27 tahun baru kembali ke tahun ini apabila ditandatangani oleh pasukan Liga FAM, PJ Rangers.

Izzaq Faris Ramlan

Ketika zaman gemilangnya, Izzaq Faris adalah antara penyerang yang diidamkan semua jurulatih namun sayang sekali pemain ini tergolong dalam senarai pemain yang punah kariernya kerana kecederaan lutut.

Dia merupakan salah seorang daripada lima pemain Harimau Muda dalam skuad senior Malaysia yang menjuarai Piala AFF Suzuki 2010. Walaupun kehadirannya lebih dilihat sebagai pelengkap dek kerana keberkesanan gandingan Norshahrul Idlan Talaha-Safee Sali, tidak dinafikan kejayaan itu membantu melonjakkan nama Izzaq.

Ketika memenangi emas di Sukan SEA 2011, gol jaringannya membantu Malaysia  mara ke final dengan menewaskan Myanmar namun terpaksa membayar harga mahal apabila mengalami kecederaan lutut akibat perlanggaran.

Dia kembali memperkuatkan skuad Sukan SEA 2013 dan kemudiannya menyertai Terengganu dan T-Team namun gagal untuk mengembalikan semula prestasinya ke tahap terbaik kerana terus bergelut dengan kecederaan selain kekurangan peluang.

Izzaq pernah turut menyarung jersi Melaka dan musim ini mewakili Terengganu City FC yang bermain di Liga FAM.