Skuad pemenang double-treble Kedah 2008: Di manakah mereka sekarang?

Berikutan pungutan tiga trofi bersejarah pada tahun 2007, Kedah mengejutkan semua apabila mereka mempertahankan kejuaraan Liga Super Malaysia (MSL), Piala FA dan Piala Malaysia pada tahun berikutnya. FourFourTwo meneliti skuad yang mengalahkan Selangor 3-2 pada final Piala Malaysia 2008 untuk double-treble bersejarah.

Helmi Eliza Elias

Setelah hanya mula mendapat tempat dalam skuad menjelang akhir tahun 2006, Helmi berada di puncak permainan ketika Kedah memenangi segala-galanya pada 2007 dan 2008.

Dia telah dipilih sebagai penjaga gol terbaik negara untuk kedua-dua tahun itu, walaupun kerjaya antarabangsanya tidak bertahan lama kerana dia adalah antara yang dipersalahkan untuk penyingkiran awal Malaysia pada Piala Suzuki AFF 2008.

Dia kekal bersama Kedah sehingga 2012, dan berpindah ke Felda United berikutan penyingkiran Kedah ke Liga Perdana Malaysia (MPL).

Foto: Sports247.my

Sekarang berusia 34 tahun dan merupakan pemain simpanan di Pahang, kejayaan lain Helmi selepas meninggalkan Kedah muncul bersama PDRM pada 2014 apabila skuad Polis memenangi MPL untuk memastikan tempat dalam MSL 2015.

Helmi kekal bermain di divisyen dua selepas menandatangani untuk Negeri Sembilan sebelum berpindah ke Pahang pada 2016.

Shafizan Hashim

Diperkenalkan ke dalam kesebelasan utama oleh jurulatih Brazil, Mirandinha pada tahun 2004, Shafizan menjadi pemain penting semasa tempoh dominan Kedah.

Pemain pertahanan kiri ini berpindah ke Johor FC (kini dijenamakan semula sebagai Johor Darul Ta'zim) pada 2012 - musim yang sama Kedah diturunkan liga - dan kemudian Felda United pada 2013, sebelum kembali ke Alor Setar untuk musim 2014.

Foto: Berita Harian

Shafizan, 35, merupakan ahli skuad ketika Kedah memenangi MPL 2015 dan Piala Malaysia 2016 tetapi dia tidak mempunyai banyak masa bermain kerana munculnya beberapa pemain muda di bawah Tan Cheng Hoe.

Dia meninggalkan Kedah pada akhir musim 2016.

Victor Andrag

Berdasarkan nama Victor Andrag, mungkin ramai yang beranggapan dia merupakan seorang pemain import, tetapi Victor sebenarnya merupakan anak kelahiran Kedah dan seorang warganegara Malaysia berbangsa India.

Dia memulakan kerjayanya di sebuah kelab yang berpusat di Kulim, Kedah Ansell sebelum ditemui oleh Lang Merah pada awal tahun 2000-an.

Dikenali kerana fizikalnya yang kuat dan stamina yang baik, Victor dekat di hati peminat Kedah dan kemudian dilantik kapten pasukan.

Foto: Sinar Harian

Kerjaya antarabangsanya tidak pernah bermula kerana dia kurang mendapat masa bermain, tetapi Victor adalah legenda di Kedah.

Dia bersara pada tahun 2010 dan berjinak dalam kerjaya kejurulatihan. Setelah terlibat dalam pembangunan skuad belia Kedah, Victor memperoleh lesen 'A' pada tahun 2016.

Dia dinaikkan pangkat sebagai jurulatih skuad bawah 21 tahun Kedah pada 2017 dan mereka dianggap sebagai pesaing utama untuk kejuaraan Piala Presiden. Tetapi, mereka tersingkir di peringkat separuh akhir.

Cornelius Bernard Huggins

Pertahanan tengah yang tinggi lampai ini tiba dari kelab Amerika, Virginia Beach pada tahun 2004 dan walaupun ia bukan musim pertama yang memberangsangkan ketika Kedah diturunkan liga, Huggins membentuk persefahaman yang baik dengan Victor di nadi pertahanan ketika mereka kembali ke puncak liga pada musim 2006/07.

Foto: CONCACAF

Huggins berpindah ke kelab Kanada, Vancouver setelah memenangi treble berganda pada 2008 sebelum menamatkan kerjayanya bersama Hope FC di tanah airnya, St Vincent dan Grenadines, pada 2011.

Dia dilantik sebagai ketua jurulatih St. Vincent dan Grenadines pada 2012 dan kekal di kerusi itu sehinggalah digantikan oleh Keith Ollivierre pada 2016. Dia kemudiannya dilantik semula pada Jun 2017.