Stories

Skuad remaja 2004 kendalian Rajagobal, pemangkin kebangkitan bola sepak Malaysia

Pasukan kendalian Rajagobal hanya selangkah untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia Remaja FIFA Bawah 20 Tahun 2015 apabila tewas dalam perlawanan suku akhir saingan AFC di tangan China.

We are part of The Trust Project What is it?

Namun, mungkin ramai di kalangan peminat hari ini tidak menyedari, Rajagobal baru saja mengambil alih skuad kurang 14 hari sebelum saingan AFC Bawah 20 Tahun berlansung di Johor Bharu dan Kuala Lumpur.

PEMECATAN JOVAN VIERA:

Sebelum Rajagobal, barisan muda negara dibimbing jurulatih Portugal kelahiran Brazil, Jovan Viera.

Viera mempunyai reputasi dan rekod cemerlang di beberapa kelab dan negara Asia Barat, namun kaedah latihan dan rekodnya dalam mengendalikan barisan muda negara tampak kurang meyakinkan.

Rajagobal baru saja mengambil alih skuad kurang 14 hari sebelum saingan AFC Bawah 20 Tahun berlansung di Johor Bharu dan Kuala Lumpur

Pengurus skuad remaja negara ketika itu ialah bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Azzuddin Ahmad yang memantau sendiri kaedah latihan Viera.

Selepas beberapa kekalahan besar di kejohanan-kejohanan jemputan remaja antarabangsa, Azzuddin mencadangkan kepada pucuk kepimpinan FAM ketika itu untuk menggantikan Viera sebelum saingan AFC Bawah 20 tahun bermula.

Viera dikatakan sukar memahami budaya dan juga bola sepak Malaysia yang tampak membataskan usahanya membentuk pasukan secara keseluruhan.

Rajagobal kemudian dibawa masuk, dan bekas penyerang negara ini terus melakukan perubahan drastik biarpun baru 10 hari mengendalikan pasukan sebelum saingan remaja Asia bermula.

Aidil Zafuan, Zaquan Adha Abdul Radzak dan Safiq Rahim yang ketika itu di tingkatan lima Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) turut dibawa masuk.

Ketiga-tiga pemain itu masih segar daripada saingan SUKMA Negeri Sembilan di mana Aidil dan Zaquan muncul juara bersama skuad Jang, tatkala Safiq turut menonjol, membantu Selangor menduduki tempat keempat.

Turut menguatkan barisan remaja negara ketika itu ialah beberapa lagi pemain SUKMA Negeri Sembilan seperti penjaga gol, Farizal Harun (kini Felda United), K Thanaraj dan Tengku Qayyum Ubaidillah .

Pemain lain yang turut mendapat kepercayaan Rajagobal ketika itu ialah Norshahrul Idlan Talaha, Azi Sharil Azmi, K Lingam dan Samransak Kram.

TONGGAK MUDA MENONJOL DI PERINGKAT ASIA

Ketika saingan Bawah 20 Tahun AFC berlansung, Malaysia berada dalam Kumpulan A, bersama pasukan pilihan, Jepun, Vietnam dan Nepal yang berlansung di Johor Bharu.

Di atas kertas, Malaysia mempunyai peluang seimbang ke suku akhir jika mampu menewaskan negara jiran, Vietnam untuk sekurang-kurangnya menduduki tempat kedua teratas kumpulan.

Hasilnya, gol tunggal diraih hasil jaringan pemain sayap Melaka, K Lingam pada minit ke-62 untuk mengutip tiga mata pertama negara

Namun, kesemua pasukan yang ke pusingan akhir termasuklah Vietnam, telah menjalani persiapan lebih rapi berbanding skuad negara.

Barisan negara menjelmakan aksi meyakinkan pada perlawanan pertama menentang Vietnam. Aidil mengemudi benteng dengan baik, manakala Safiq, mengawal jentera tengah tatkala Norshahrul, Zaquan dan Samransak bergilir-gilir mengukuhkan jentera serangan.

Hasilnya, gol tunggal diraih hasil jaringan pemain sayap Melaka, K Lingam pada minit ke-62 untuk mengutip tiga mata pertama negara.

Barisan negara kemudian tumpas 3-0 di tangan Jepun pada aksi kedua dan perlu merakamkan kemenangan ke atas Nepal pada aksi ketiga untuk memastikan kemaraan.

Biarpun tekanan kian memuncak tatkala berdepan Nepal, skuad muda kendalian Rajagobal tenang melakar kemenangan 3-0, sekaligus mara ke suku akhir.

Ia juga merupakan kemaraan pertama negara ke peringkat suku akhir kejohanan remaja Asia sejak barisan 1968 yang muncul naib juara.

Apa pun, lawan di suku akhir, China terlalu hebat buat skuad negara apabila mereka mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Malaysia, justeru memadam impian ke Piala Dunia Remaja FIFA 2005.

Ketika itu, memang Rajagobal yakin dengan kemampuan pemain muda

"Ketika itu, saya, abang (Aidil) dan juga Safiq masih berada di alam persekolahan dan tentu sekali, ia menjadi satu kebanggaan apabila kami beraksi di saingan Asia.

"Kami sebenarnya telah memberikan tentangan sengit kepada China dan kedudukan terikat 0-0 pada babak pertama.

"Ketika itu, memang Rajagobal yakin dengan kemampuan pemain muda, manakala kami pula ketika itu bermain habis-habisan," kata Zaquan mengimbas kenangan 2004.

Secara kebetulan, Zaquan, Aidil, Safiq dan Norshahrul disatukan kembali di bumi Johor untuk bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 2013.

Seorang lagi anggota skuad remaja negara 2004, Shakir Shaari turut ke JDT pada 2014 dan kekal di kelab itu sehingga kini bersama Aidil dan Safiq tatkala Zaquan dan Norshahrul sudah ke pasukan lain.

Zaquan, Aidil, Safiq dan Norshahrul kemudian menjadi tonggak yang meraih emas Sukan Sea 2009 di Laos.