Stories

Stadium Merdeka: Nadi negara

Sebelum Stadium Bukit Jalil dan Stadium Shah Alam dibina, Stadium Merdeka merupakan gelanggang tuan rumah pasukan kebangsaan, Malaysia, ketika era  Harimau Malaya menjadi kebanggaan negara.

We are part of The Trust Project What is it?

Padang itu tidak tersenarai dalam 10 Stadium Terbaik di Asia Tenggara Pilihan FourFourTwo, tetapi ia akan selamanya terpahat sebagai kenangan indah buat rakyat Malaysia.

Menjadi kebanggaan negara pada satu ketika - tempat di mana Kemerdekaan dari British diisytiharkan - Stadium Merdeka kini sekadar menjadi lokasi umum untuk konsert, malah turut menghadapi ancaman dalam memberi laluan kepada pembangunan.

Ia adalah padang yang diidamkan setiap pemain bola sepak ... kita semua memiliki cita-cita untuk bermain di Stadium Merdeka

- Dollah Salleh

Merdeka bermaksud Kemerdekaan dan setiap tahun, stadium itu menerima publisiti penuh semasa perayaan negara dalam menandakan peristiwa tersebut.

Terletak di pusat Kuala Lumpur, dan telah berulang kali mengenepikan ancaman pembangunan semula sejak tahun 1990-an dan masih kekal sebagai identiti negara, tetapi sayangnya, aura yang mengelilingi sukan bola sepak yang dimainkan di situ telah lama berkubur.

"Ia adalah padang yang diidamkan setiap pemain bola sepak ... kita semua memiliki cita-cita untuk bermain di Stadium Merdeka," kata bekas pemain antarabangsa Malaysia, Dollah Salleh kepada FourFourTwo.

"Perlawanan antarabangsa dan final turut banyak dimainkan di sana dan tidak melupakan Kejohanan Merdeka yang diadakan secara rutin. 

"Semuanya kekal dalam kenangan buat selama-lamanya apabila mercu tanda bola sepak baru tidak lagi dijalankan di sana.

"Saya sanggup membalut buku lali yang bengkak agar boleh bermain dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Korea Selatan di sana pada tahun 1985," tambah Dollah, yang menjaringkan gol kemenangan dari sisi kotak dalam perlawanan itu.

Stadium Merdeka semasa Sukan SEA 1989

Ia juga adalah kemenangan terakhir skuad kebangsaan ke atas sebuah skuad senior Korea Selatan dalam aksi antarabangsa Kelas A.

Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman, juga seorang peminat bola sepak yang fanatik dan pembinaan stadium untuk menempatkan sukan itu adalah sebahagian daripada perancangannya.

Pembinaannya mengambil masa kurang dari satu tahun dan siap sepenuhnya tepat pada waktu menyambut Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Kawasan ini juga dikelilingi taman awam, dengan Stadium Negara – dan satu venue tertutup - dibina pula di sebelahnya pada tahun 1962.

Para peminat begitu dekat dengan padang dan kami dapat mendengar mereka bersorak kepada kami - atau sebaliknya!

- Zainal Abidin Hassan

Pada asalnya, stadium itu berupaya menampung 20,000 orang pada satu masa, namun beberapa teres dibina kemudian untuk menampung kapasiti penuh Stadium Merdeka hingga melebihi 40,000 orang selang beberapa tahun kemudian.

Stadium tersebut kini kembali ke kapasiti asalnya selepas barisan teres atas dibuang untuk mengembalikan dimensi asli stadium dari tahun 1957.

Perlawanan bola sepak pertama telah berlangsung pada September 1957 dan Malaysia mengalahkan Myanmar (yang ketika itu dikenali sebagai Burma) 5-2 dalam perlawanan persahabatan.

Dari situ, Stadium Merdeka, menyaksikan banyak detik yang sukar dilupakan dalam sejarah bola sepak Malaysia, dari gol Mokhtar Dahari ketika menentang England pada tahun 1975, hinggakan kepada gol kemenangan James Wong ke atas Korea Selatan untuk 'menghantar' Malaysia ke Olimpik Moscow pada tahun 1980 (kemudian diboikot) serta jaringan menakjubkan dari Dollah dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 1986.

Malahan, pemain terkenal dunia, Diego Maradona turut pernah beraksi di atas padang tersebut saat Boca Juniors melawan Selangor pada tahun 1982.

"Satu lagi perkara yang memeriahkan suasana ialah para peminat yang begitu dekat dengan padang dan kami dapat mendengar mereka bersorak kepada kami - atau sebaliknya!" Kata bekas pemain antarabangsa Malaysia, Zainal Abidin Hassan.

Dollah, bagaimanapun, teringat satu perkara yang dia tidak suka tentang stadium itu - iaitu bilik persalinan terdedah kepada peminat tidak seperti di stadium-stadium sekarang.

Malaysia beraksi buat kali terakhir di Stadium Merdeka pada Oktober 2001 dan mereka seri 1-1 dengan Kemboja

"Tingkap di bilik persalinan dibuka kepada peminat dan walaupun kami menutupnya, kami masih dapat mendengar mereka ... ada yang meminta tiket," kata Dollah.

"Tidak ideal untuk diganggu di bilik persalinan. Rundingan pasukan tidak dapat berjalan dengan lancar, satu lagi cabaran yang dihadapi oleh pasukan-pasukan dulunya. "

Bekas pemain pertahanan Malaysia, Serbegeth Singh, dalam satu temubual dengan FourFourTwo pada bulan Julai, mengimbas kembali perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA 1989 menentang Singapura di Stadium Merdeka sebagai salah satu titik utama dalam kerjayanya.

Dia menyifatkan suasana stadium dulunya mampu membuatkan lawan goyah.

"Stadium penuh dan semua kontinjen telah datang untuk menonton perlawanan tersebut. Beberapa ratus atlit mula menyanyikan 'Barisan Kita' dan 40,000 orang mengikuti.

Venue ini sekarang hanya digunakan untuk konsert. Foto: TripAdvisor

"Seluruh kontinjen bersatu hati. Naik bulu roma tatkala saya membicarakannya sekarang ," kata Serbegeth, yang lebih dikenali sebagai 'Shebby'.

Malaysia beraksi buat kali terakhir di Stadium Merdeka pada Oktober 2001 tatkala mereka seri 1-1 dengan Kemboja, sementara Kuala Lumpur telah kembali ke stadium buat sementara waktu pada 2015 selepas 17 tahun meninggalkannya sehinggalah faktor kerisauan padang rosak membawa kepada penutupan.

Hari ini, stadium tidak lagi dipertimbangkan untuk kegunaan bola sepak profesional dan kebanyakannya digunakan sebagai tempat untuk menjalankan konsert.

Antara acara hebat lain yang dijalankan di Stadium Merdeka ialah perlawanan tinju antara Muhammad Ali dan Joe Bugner pada tahun 1975, konsert Michael Jackson pada tahun 1996 dan Tour Bon Jovi pada tahun 2015.

Stadium tersebut telah digazetkan sebagai monumen kebangsaan pada tahun 2005 dan menerima Anugerah Warisan Asia-Pasifik Unesco pada tahun 2008. 

Di bawah ini ialah sorotan khas Stadium Merdeka, dari BFM 89.9.