Tips survival FFT buat pemain import: Bagaimana untuk kekal dikehendaki di Malaysia

Dianggap penentu utama nasib sesebuah pasukan, kelab-kelab dari Liga Super Malaysia (MSL) seolah-olah sentiasa memerlukan khidmat pemain import. Berikut adalah panduan dan tips buat pemain asing yang mahu beraksi lebih lama di Malaysia ...

1. Pamerkan aksi terbaik serta-merta

Kebergantungan tinggi kelab terhadap pemain import menyebabkan mereka diharapkan sudah berada di puncak prestasi sejak awal musim lagi.

Pamerkan aksi yang baik dan anda mungkin terselamat daripada sebarang aktiviti jendela perpindahan pertengahan musim yang tidak diingini. Ketika tempoh ini, kelab-kelab sering aktif mencari pengganti pemain import yang tidak menepati jangkaan. Walaupun pasukan tersebut mungkin berdepan masalah kekangan kewangan dan kesukaran melakukan pembayaran gaji pemain yang mengakibatkan tunggakan, itu tidak menghalang mereka untuk mencari jalan dalam melaksanakan perpindahan.

Pada 2016, hanya dua kelab pencabar utama liga, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Felda United yang tidak membuat apa-apa pembelian pertengahan musim. Sebanyak 19 perpindahan telah direkodkan oleh 10 pasukan yang selebihnya.

Penjaring terbanyak MSL 2015, Dramane Traore turut ditunjukkan jalan keluar di Kelantan pada pertengahan musim selepas gagal menunjukkan prestasi jaringan yang memberansangkan sejak tiba dari PDRM untuk kempen 2016. ‘The Red Warriorsmendakwa dana mereka semakin berkurangan, tetapi tetap juga membawa masuk dua pemain baru.

Pasukan MSL sudah pun membuat persiapan menjelang jendela perpindahan seterusnya pada bulan Mei, dengan Felda juga telah mengeluarkan kenyataan mengenai rombakan kesemua empat slot import mungkin berlaku, walau terdapat pemain yang baru sahaja bersama dengan pasukan tersebut untuk tempoh singkat tiga bulan.

Import yang datang ke Malaysia kebanyakannya tidak mempunyai tempoh bulan madu. Lupakan klise lama seperti memerlukan masa untuk membiasakan diri kerana perkara tersebut tidak wujud sama sekali di Malaysia, terutama buat bakat luar.