Stories

Transformasi Nazmi Faiz : Harimau Selatan ubah ‘budak jahat’ kepada permata selatan

Sejak beberapa tahun lalu nama Nazmi Faiz Mansor banyak mencuri tumpuan untuk sebab yang tidak sepatutnya. Kebudak-budakan, tidak matang, tidak beretika, tidak professional, apa sahaja yang tidak bagus sesuailah dikaitkan dengannya.

We are part of The Trust Project What is it?

Sering terpalit dengan kontroversi demi kontroversi di atas padang, maka tidak hairanlah dia dilabel sebagai ‘budak jahat’ bolasepak Malaysia.

Ramai yang berpendapat pemain yang pernah dianggap sebagai ‘wonderkid’ pada suatu masa dahulu ini sukar untuk pergi jauh jika tidak merubah atitudnya dan lebih penting tidak ramai juga yang percaya sebenarnya dia boleh berubah.

Malah tidak kurang ada yang mengatakan Nazmi Faiz akan akhirnya menjadi ‘bintang yang hilang’ dari radar bolasepak Malaysia setelah menjanjikan masa depan yang begitu cerah – semuanya disebabkan sikap dan perangainya itu yang menjadi-jadi dan bukannya bertambah baik.

Namun itu cerita lama, bukan sahaja pemain itu berjaya merubah dan membuang jauh segala yang buruk itu, tetapi dia kini dianggap sebagai permata bolasepak tanah air.

Mereka yang sebelum ini mengeji juga melontarkan pujian di atas transformasi yang dilaluinya dan kita perlu mengakui Johor Darul Takzim memainkan peranan penting di atas perubahan ini.

FFT mengimbau semula detik-detik penting dalam perjalanan karier Nazmi Faiz.        

Digelar ‘wonderkid’, gol cantik menentang Bahrain dan Sukan SEA 2011

Nama Nazmi Faiz mula meletup ketika usianya 17 tahun selepas menjaringkan gol cantik ketika menentang Bahrain di Stadium Nasional Bukit Jalil pada November 2011 dalam aksi kelayakan Sukan Olimpik 2012.

Malaysia tewas perlawanan itu dan gagal mara ke London 2012 namun ia membuka pintu kepada Nazmi untuk terus melangkah mencipta nama. Dia kemudiannya membantu skuad B-23 negara  menang pingat emas di Palembang.

Hakikatnya, pemain ini sebenarnya sudahpun menunjukkan potensi besar dan digelar ‘wonderkid’ sejak ketika bermain untuk Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Harimau Muda B dalam saingan Liga Perdana 2010.

Sertai Beira Mar dan pulang selepas enam bulan

Pada Mei 2012, tumpuan terhadap Nazmi Faiz semakin memuncak apabila dia menjadi pemain Asia Tenggara pertama bermain di Portugal dengan menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama kelab Divisyen Satu Portugal, S.C Beira Mar sehingga 2015.

Namun hanya enam bulan berada di sana, Nazmi membuat kejutan apabila meninggalkan kelab itu dan kembali ke tanah air. Jurucakap kelab itu berkata kontrak Nazmi ditamatkan atas permintaan pemain itu sendiri yang mahu menyelesaikan masalah peribadi.

Putus cinta dan perebutan wanita dengan seorang lagi pemain bolasepak kebangsaan adalah antara beberapa sebab peribadi yang dikaitkan.

Sejurus pulang ke Malaysia, Nazmi menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama PKNS Selangor (kini PKNS FC) namun kemudiannya menyertai Selangor setahun kemudian.

Tiga kad merah dalam tempoh kurang setahun

Sejarah kad merah Nazmi bermula sejak dia berusia 17 tahun lagi apabila dia menumbuk kapten pasukan Qatar B-22 tahun, Abdelkarim Hassan Fadlala dalam aksi persahabatan bersama B-22 kebangsaan di Stadium Shah Alam pada Jun 2012.

Dua tahun sunyi dari sebarang kontroversi berat, Nazmi bagaimanapun kembali buat hal apabila menerima diperintah keluar padang sebanyak tiga kali dalam tempoh kurang setahun.

Dia dilayangkan kad merah ketika aksi pembukaan Sukan SEA Singapura pada 2 Jun 2015 setelah meludah pemain Timor Leste, Filipe Oliviera. 

Dia yang pada awalnya digantung dua perlawanan, kemudiannya terpaksa melupakan terus baki aksi Sukan Sea dan dihantar pulang awal setelah Jawatankuasa Disiplin Konfederasi Bolasepak Asia memutuskan untuk mengenakan penggantungan enam perlawanan ke atasnya.

Tiga bulan kemudian pada 20 Ogos 2015, Nazmi dikenakan kad merah ketika aksi Liga Super antara Selangor dan Kelantan kerana meludah pemain import Kelantan, Erwin Carrillo dan Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bolasepak Malaysia menjatuhkan hukuman gantung enam perlawanan serta memberikannya amaran keras untuk berkelakuan baik.

Pada 23 April 2016, Nazmi dilayangkan kad merah kerana menyiku Andre Francisco ketika pertembungan Liga Super antara Selangor dan PDRM di Stadium Shah Alam.