AFC B-19: Akhyar Rashid cergas untuk bermain bersama skuad B-19

Pemain muda sensasi negara, Akhyar Rashid menegaskan bahawa dirinya tidak berdepan sebarang masalah kecergasan untuk bersama-sama skuad Malaysia bawah 19 tahun (B-19) bagi mengharungi kempen Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 yang akan bermula hari ini di Indonesia.

Terdahulu, Akhyar terpilih untuk bermain bersama skuad senior Harimau Malaya pada dua perlawanan persahabatan lalu menentang Sri Lanka dan juga Kyrgyzstan. Dan selepas pada perlawanan persahabatan di Stadium Hang Jebat, Melaka beliau dilihat berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang untuk bersama-sama skuad kendalian Bojan Hodak.

Ketika ditemui di KLIA, pemain muda Kedah itu menjelaskan bahawa khidmatnya bersama skuad senior tidak menjejaskan tahap kecergasannya kerana beliau dibawa masuk oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe pada separuh masa kedua.

“Bagi perlawanan semalam (kelmarin), semuanya berjalan dengan baik dan saya boleh membantu skuad B-19 pula.

“Tidak menjadi masalah bermain dengan skuad senior kerana saya dibawa masuk pun pada lewat permainan.

“Pada masa sama, saya tidak menggunakan banyak tenaga ketika berdepan Kyrgyzstan dan ia membantu saya lebih fokus untuk kejohanan AFC B-19 kali ini,” katanya kepada Kosmo Online.

Selain itu, Akhyar turut menjelaskan bahawa beliau tidak berdepan sebarang masalah untuk bersama-sama skuad Malaysia B-19 walaupun tidak mengikuti kem latihan kendalian Bojan Hodak sebelum ini. Apa yang pasti, beliau mahu memberikan yang terbaik buat negara seterusnya mara sejauh mungkin dalam kempen ini.

“Buat skuad Hodak, saya akan memberikan komitmen terbaik di Jakarta dan berharap semua rakan-rakan lain dapat membantu saya bermula dengan aksi pembukaan menentang Arab Saudi, Sabtu ini.

“Bagi saya tidak kira pasukan B-19 atau senior tetapi misi yang paling penting adalah untuk membantu negara. Semua pasukan saya telah bermain bersama dan ia tidak menjadi masalah kepada saya untuk menyesuaikan diri atau sebalik­nya,” ujarnya.

Malaysia B-19 akan memulakan saingan Kejuaraan AFC B-19 dengan menentang Arab Saudi pada Sabtu, 20 Oktober sebelum bertemu Tajikistan dan China masing-masing pada 23 dan 26 Oktober bagi saingan Kumpulan D.

Kredit Foto: FFSL

Topics