AFC B-19: Bojan Hodak mahu pemain bangkit atasi Tajikistan

Pengendali Malaysia bawah 19 tahun (B-19), Bojan Hodak menaruh kepercayaan kepada anak buahnya untuk bangkit dan menewaskan Tajikistan dalam aksi kedua Kumpulan D, Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19.

Bagi memastikan perkara tersebut, Bojan Hodak mahu para pemain tidak mengulangi kesilapan mudah seperti menentang Arab Saudi pada perlawanan pertama lalu.

Dan penekanan itu diberikan keutamaan kepada barisan pertahanan Malaysia B-19 selain daripada bahagian tengah dan barisan serangan supaya dapat mara ke saingan kalah mati khususnya.

“Pertahanan melakukan beberapa kesilapan yang tidak sepatutnya dengan memberi ruang untuk pemain lawan (Arab Saudi) menjaringkan gol.

“Jadi, untuk pergi jauh dalam kejohanan ini, kami perlu meningkatkan lagi persembahan dan cuba mengelak daripada melakukan kesilapan,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

Skuad remaja negara memulakan aksi sulung kejuraan berkenaan dengan langkah kiri apabila mencatatkan kekalahan di tangan Arab Saudi dengan jaringan 2-1.

Walaupun tidak mendapat sebarang mata daripada perlawanan pertama, ketua jurulatih dari Croatia tersebut tetap memuji persembahan anak buahnya yang telah memberikan komitmen mereka di atas padang.

Malah, Arab Saudi merupakan sebuah pasukan yang lebih hebat mengatasi Malaysia dan ini telah memberikan pengalaman kepada mereka untuk mengharungi baki dua perlawanan peringkat kumpulan.

“Saya tidak kecewa, saya bangga dengan pemain yang memberikan tentangan sengit sepanjang 90 minit. Secara teknikalnya kami tidak berada pada tahap terbaik.

“Berdepan Arab Saudi yang juga satu daripada pasukan terbaik Asia memang sukar. Mereka lebih berpengalaman dan jika anda tanya saya secara keseluruhan, ia satu persembahan yang baik (daripada pemain saya),” katanya.

Kredit Foto: FAM

Topics