Azam Azih: Saya sedia menyarung jersi Harimau Malaya

Pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih menyatakan kesediaan untuk menyarung jersi Harimau Malaya terutamanya bagi kempen Piala AFF 2018 yang akan bermula November hadapan.

Beliau yang menghadapi kecederaan lutut sebelum ini telah pulih dan sedang menjalani latihan bersama skuad Tok Gajah.

“Apa yang boleh saya katakan lutut kanan yang sebelum ini cedera sudah pulih sepenuhnya dan jika dipanggil mewakili skuad Harimau Malaya, saya sedia memberikan komitmen 100 peratus.

“Pada masa sama, saya amat teringin untuk menyertai skuad negara kerana belum berkesempatan beraksi di bawah kendalian jurulatih Tan Cheng Hoe.

“Sebelum ini jurulatih pernah menyenaraikan saya tapi disisihkan kerana cedera,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

Tambahnya lagi, sememangnya menjadi impian buat dirinya untuk beraksi di pentas Piala AFF bersama skuad kebangsaan seterusnya membantu Harimau Malaya menjuarai kejohanan tersebut.

Nama Nor Azam Azih menjadi sebutan bagi mengisi bahagian tengah Malaysia selepas bekas pemain negara, Serbegeth Singh menganggap bahawa Azam Azih merupakan pemain tengah terbaik ketika ini.

Oleh itu, Sarbegeth Singh berharap Nor Azam Azih dipanggil oleh Tan Cheng Hoe melengkapkan senarai akhir pemain untuk dibawa ke kejohanan dwitahunan Asia Tenggara tersebut.

Walaupun tidak berpeluang untuk menyarung jersi skuad kebangsaan senior setakat ini, Azam Azih memainkan peranan yang cukup signifikan semasa bersama Harimau Muda kendalian Datuk Ong Kim Swee pada temasya Sukan SEA dan Kejuaraan AFC B-23 yang lalu.

Beliau bagaimanapun tidak dapat menyertai skuad Datuk Ong Kim Swee pada temasya Sukan Asia, Ogos lalu kerana tidak mendapat pelepasan daripada pasukannya, Pahang FA.

Kredit Foto: FAM

Topics