Azam sedia rebut posisi tengah Harimau Malaya menentang Maldives

Pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih mahu membalas kepercayaan Tan Cheng Hoe dan barisan kejurulatihan Malaysia yang menyenaraikannya ke kem latihan pusat skuad kebangsaan yang akan bermula esok (24 Oktober 2018) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Oleh itu, perlawanan persahabatan antarabangsa “A” bertemu Maldives pada 3 November kelak akan menjadi gelanggang buat dirinya mempamerkan prestasi terbaik seterusnya memikat hati ketua jurulatih Harimau Malaya untuk beraksi di pentas Piala AFF Suzuki 2018.

Malah kecederaan yang dialami oleh Azam Azih sebelum ini sudah pulih selain daripada tahap kecergasan beliau berada dalam keadaan terbaik dengan menjalani latihan bersama skuad Tok Gajah.

“Sudah pasti saya gembira apabila dipanggil untuk bersama rakan lain sebagai persediaan skuad negara menghadapi saingan Piala AFF nanti. Setakat ini, prestasi saya berada tahap terbaik kerana masih menjalani latihan bersama skuad Pahang dan pada masa sama, sudah pulih daripada kecederaan kanan.

“Saya akan menjadikan perlawanan dengan Maldives untuk membuktikan kepada jurulatih (Tan Cheng Hoe) walaupun mengakui saingan sengit daripada rakan lain di posisi tengah,” katanya seperti dilaporkan oleh MyMetro.

Pemain tengah 23 tahun ini cemerlang bersama skuad Datuk Ong Kim Swee ketika menyertai temasya Sukan SEA 2017 dan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23. Bersama Pahang FA pada musim ini pula, beliau antara nadi utama skuad kendalian Dollah Salleh dalam kejayaan merangkul Piala FA 2018 menewaskan Selangor FA 2-0 pada Julai lalu.

Walaubagaimanapun, ketika temasya Sukan Asia, Jakarta baru-baru ini, beliau tidak dilepaskan oleh Pahang untuk menyertai skuad Datuk Ong Kim Swee ekoran menghadapi saingan Piala Malaysia.

Selain Nor Azam Azih, Tan Cheng Hoe turut menamakan penyerang Norshahrul Idlan Talaha dan pemain sayap Mohamadou Sumareh daripada Pahang FA bagi menghadapi persiapan terakhir Piala AFF menentang Maldives. Hanya Matthew Davies disisihkan ekoran kecederaan di bahagian lutut.

Kredit Foto: FAM, Pahang FA

Topics