Cheng Hoe: Harimau Malaya tampil persembahan baik dan catat peningkatan

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe memuji persembahan anak buahnya yang menunjukkan persembahan yang baik serta peningkatan yang ketara berbanding aksi-aksi terdahulu.

Walau tampil dengan persembahan yang baik, skuad Harimau Malaya tewas tipis kepada Republik Kyrgyz 1-0 menerusi jaringan pemain gantian, Bekzhan Sagynbaev pada minit ke-68 dengan memanfaatkan kesilapan pemain pertahanan negara.

Namun sebelum itu, Harimau Malaya tampil garang dengan melakukan percubaan tepat ke gawang Kyrgyzstan menerusi beberapa rembatan oleh Norshahrul Idlan Talaha, Mohamadou Sumareh dan juga tandukan Zaquan Adha. Selain daripada hanya menyinggah palang dan tiang, kecekapan Matiash Pavel juga menjadi asbab Malaysia tidak dapat membolosi gawang lawan.

Bekas pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe bagaimanapun berpuas hati dengan persembahan pemain Harimau Malaya dan mahukan prestasi sebegini dikekalkan untuk perlawanan akan datang terutamanya dalam saingan Piala AFF Suzuki nanti.

“Secara keseluruhan, kita menunjukkan persembahan yang baik dan ada peningkatan berbanding perlawanan terdahulu.

“Pada babak pertama, kita melakukan banyak serangan, (Mohamadou) Sumareh memiliki sekurang-kurangnya dua atau tiga peluang tetapi malang tidak dapat disempurnakan.

“Kyrgyzstan tidak ada banyak peluang tetapi apabila mereka memperoleh kesempatan, ia digunakan dengan baik.

“Apa pun, saya percaya kita masih boleh meningkat dan harap peluang yang diperoleh hari ini dapat diteruskan dan diterjemahkan dengan gol untuk aksi seterusnya,” katanya seperti dilaporkan oleh Utusan.

Selain daripada aksi perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka dan Kyrgyzstan pada Oktober yang telah diadakan ini, Malaysia akan menghadapi satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa “A” menentang Maldives pada 3 November 2018, di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selepas itu, Tan Cheng Hoe akan memulakan aksi sulung Piala AFF Suzuki 2018 dengan menentang Kemboja di Phnom Penh pada 8 November. Kejohanan dwitahunan Asia Tenggara itu menempatkan Malaysia dalam Kumpulan A bersama-sama Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam.

Kredit Foto: FAM

Topics