Ini sebabnya B. Sathianathan tinggalkan Felda United

B. Sathianathan mengambil keputusan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Felda United selepas pihak pengurusan The Fighters melakukan penstrukturan kewangan sehingga memotong gajinya hampir 60 peratus daripada apa yang di diterimanya musim ini.

Baginya, isu pemotongan gaji itu bukan satu-satunya sebab beliau mengambil keputusan tersebut, namun dengan usaha beliau mencapai segala sasaran pihak pengurusan selama ini tidak patut dibalas dengan tawaran sedemikian.

“Mesyuarat bersama pihak pengurusan semalam, mereka mahu memotong 60 peratus daripada gaji saya yang diterima ketika ini. Kalau 10 peratus atau 15 peratus saya boleh terima lagi.

“Jumlah pemotongan sebanyak itu tak masuk akal sedangkan saya sudah berikan keputusan cemerlang dengan membawa pasukan menamatkan kedudukan Liga Super musim lalu di tangga ketiga selepas mengambil alih pasukan di pertengahan liga ketika itu.

“Musim lalu juga kami mara hingga ke separuh akhir Piala Malaysia dan rentak itu diteruskan pada musim ini apabila kami memenuhi sasaran pengurusan iaitu muncul juara Liga Perdana.

“Malah, saya juga seorang jurulatih berpengalaman dan memiliki lesen AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) Pro A dan sijil UEFA. Jadi saya ucapkan selamat berjaya kepada FELDA United untuk musim depan,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

Ekoran penstrukturan kewangan oleh pengurusan Felda United, kelab yang bermain di Stadium Tun Abdul Razak itu dijangka akan mempertaruhkan pemain-pemain muda bagi menghadapi saingan Liga Super musim hadapan.

Hal ini yang menjadikan B. Sathianathan yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) mengangkat kaki daripada kelab tersebut kerana beliau tidak mahu membimbing pasukan untuk memberikan pendedahan kepada pemain. Beliau lebih berminat dengan pasukan yang mahu mencabar kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia.

“Kita lihat contoh macam pasukan Kelantan dan Negeri Sembilan yang menggunakan terlalu ramai pemain muda, mereka gagal bersaing dan akhirnya tersingkir ke Liga Perdana pada musim depan.

“Saya bukan mahu berikan alasan, tetapi kita kena realistik kerana cabaran di Liga Super berbeza. Saya sukakan pasukan yang mempunyai misi dan visi untuk mencabar kejuaraan. Kalau main di Liga Perdana kita mahu layak ke Liga Super, manakala main di Liga Super kita mahu berada dalam tiga kelompok terbaik.

“Saya inginkan pasukan yang boleh mencabar JDT (Johor Darul Ta’zim), Pahang ataupun Terengganu. Tapi kalau setakat bermain untuk memberi pendedahan saya tak berminat,” katanya.

Kredit Foto: Felda United FC

Topics