Irfan Bakti: Peluang sekarang adalah 50-50 buat TFC dan JDT

Pengendali Terengganu Football Club (TFC), Irfan Bakti berkata bahawa peluang untuk pasukannya dan juga Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mara ke perlawanan akhir unifi Piala Malaysia musim ini adalah 50-50.

Ini berikutan kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan masing-masing iaitu TFC dengan kelebihan bekalan satu gol manakala JDT pula bermain di hadapan penyokong sendiri, di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.

Malah beliau sendiri yakin pasukannya mampu untuk menewaskan JDT di Stadium Larkin kerana pada pandangannya pasukan Harimau Selatan itu bukanlah kebal sepenuhnya memandangkan beliau pernah menang disana.

“Kelebihan satu gol ini sebenarnya besar dan juga kecil. Begitu juga dengan 90 minit yang berlangsung itu juga lama dan tidak lama.  Jadi pemain harus mempunyai disiplin diri yang tinggi di Larkin nanti untuk kita berjaya melangkah ke perlawanan akhir nanti insya-Allah.

“Peluang sekarang adalah 50-50 kerana kelebihan JDT bermain di ‘rumah’ sendiri sementara TFC mempunyai kelebihan satu gol,” katanya pada sesi latihan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak.

TFC berjaya membawa bekalan satu gol untuk perlawanan timbal balik separuh akhir Piala Malaysia apabila pemain gantian, Malik Mat Ariff berjaya menjaringkan gol tersebut pada separuh masa kedua pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, Kuala Terengganu.

Untuk perlawanan pada Sabtu ini, Irfan Bakti turut menjelaskan bahawa anak buahnya turut bersedia dari segi mental bagi menghadapi ribuan penyokong tuan rumah di Johor Bahru nanti.

“Dua perlawanan terakhir di tempat kita dengan begitu ramai penyokong saya rasa sudah tidak jadi masalah kepada pemain, lagipun saya sudah maklum kepada mereka supaya tumpukan di dalam padang kerana sudah pasti Larkin akan dipenuhi penyokong JDT.

“Dengan pengalaman yang ada pada pemain seperti Igor Zonjic,  Lee Tuck dan Kipre Tchetche ia bukan masalah besar kerana pemain ini akan bertindak menasihati pemain lain,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

Malah beberapa hari lalu, TFC turut mengadakan satu perlawanan persahabatan menentang East Bengal sebagai salah satu persiapan untuk bertemu juara bertahan pada aksi kedua ini.

Perlawanan persahabatan tersebut berakhir dengan seri 0-0 tanpa sebarang jaringan.

Kredit Foto: Terengganu FC

Topics