Kemanakah hilangnya Lim Teong Kim?

Setelah berakhirnya Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 16 Tahun, bekas ketua jurulatih Malaysia B-16 dilihat hilang membawa diri daripada bola sepak negara.

Pada kejuaraan asia lalu, beliau telah meletakkan sasaran untuk mara sehingga ke peringkat separuh akhir pertandingan tersebut seterusnya layak ke saingan Piala Dunia FIFA B-17 yang akan berlangsung pada tahun hadapan di Peru.

Namun, sasaran yang diletakkan oleh beliau tidak kesampaian apabila skuad remaja Malaysia tamat di dasar Kumpulan A dengan merekodkan 2 kekalahan dan hanya 1 kemenangan. Ini membuatkan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan drastik memecat beliau sebagai ketua jurulatih Malaysia B-16 serta merta.

Sejak daripada itu, bekas jurulatih akademi Bayern Munich itu mula mendiamkan diri. Mengulas tindakan tersebut, bekas pemain negara, Khalid Ali menyatakan bahawa apa yang dilakukan Teong Kim itu adalah lumrah bagi seorang jurulatih professional dan menganggap perkara tersebut adalah satu tindakan bijak.

“Dia sudah hidup lama di Jerman dan sikapnya sama seperti jurulatih antarabangsa lain. Mereka (jurulatih antarabangsa) profesional. Itu apa yang sedang dilakukannya (Teong Kim) dan ia satu tindakan yang baik.

“Lepas apa yang berlaku, dia rasakan dirinya betul tetapi ada pihak yang menyalahkannya. Jadi dia tidak perlu bercakap perkara-perkara yang akan mengeruhkan lagi keadaan,” kata Khalid kepada Bernama.

Selain daripada dipertanggungjawabkan sebagai ketua jurulatih Malaysia B-16 oleh FAM, Lim Teong Kim juga memegang jawatan sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dibawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang diselia oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Sejak memegang jawatan Pengarah AMD, beliau telah mengemudi pasukan remaja negara memenangi beberapa pertandingan bola sepak antarabangsa seperti Piala Iber Costa del Sol 2015 dan Piala Supermokh 2016.

Walaupun mempunyai kontrak bersama AMD sehingga tahun 2020, kedudukan beliau selaku pengarah akademi tersebut kelihatan samar ditambah pula dengan pendedahan gaji beliau berjumlah RM175,000 sebulan oleh Menteri KBS, Syed Saddiq Syed Abd Rahman sehingga mengundang kritikan ramai terhadap Lim Teong Kim.

Khalid Ali bagaimanapun berpendirian bahawa Lim Teong Kim harus dikekalkan peranannya selaku Pengarah AMD kerana pengalaman yang dimiliki tidak ramai dimiliki oleh jurulatih tempatan selain daripada menuntut FAM dan KBS duduk semeja dan tidak meminggirkan jurulatih yang pernah membimbing pemain berkelas dunia ini.

“Dia tidak sepatutnya dipinggirkan terus dan kita tidak boleh lepaskan beliau. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau FAM perlu ambil satu jalan penyelesaian… panggil dia berbincang dan mungkin beri dia tanggungjawab ke atas semua program pembangunan remaja. Berhenti menuding jari.

“Pengalaman dimiliki beliau sewaktu di Jerman sangat bernilai. Di Malaysia tiada jurulatih berpengalaman luas dan unik sepertinya,” tambah Khalid.

Kredit Foto: FAM

Topics