Kipre puas tundukkan JDT dihadapan penyokong mereka sendiri

Kapten pasukan Terengganu Football Club (Terengganu FC), Kipre Tchetche melahirkan rasa puas hati kerana berjaya menafikan kemaraan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) ke pentas akhir Piala Malaysia 2018.

Pada perlawanan sabtu lalu, Terengganu FC turun dengan bekalan satu gol daripada perlawanan pertama separuh akhir menentang tuan rumah dengan sokongan padu hampir 30,000 penyokong di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos.

JDT terdahulu berjaya membuka jaringan melalui sepakan penalti Fernando Marquez setelah pengadil menghadiahkan sepakan penalti yang kontroversi. Kedua-dua pasukan masuk ke bilik persalinan dengan agregat 1-1.

Memasuki babak kedua, Gonzalo Cabrera sekali lagi menceriakan ribuan penyokong tuan rumah apabila meledak gol dari dalam kotak penalti menewaskan Suffian Rahman setelah menerima hantaran daripada Safawi Rasid.

Tidak lama kemudian, penyerang dari Ivory Coast melakukan satu rembatan menggegarkan jaring yang dikawal oleh Farizal Marlias pada minit ke-68 setelah menerima hantaran lintang daripada Lee Tuck.

Tidak cukup dengan gol tersebut, Kipre Tchetche sekali lagi meremukkan hati pemain dan penyokong JDT apabila menjaringkan gol dalam masa kecederaan hasil umpanan cantik daripada pemain gantian, Ashari Samsudin.

Selepas perlawanan, beliau meluahkan rasa puas kerana dapat menundukkan juara bertahan dan mara ke pentas akhir.

“Tiada kata-kata indah yang boleh saya ungkapkan selain begitu puas apabila kami layak ke pentas akhir. Bukan mudah untuk menundukkan JDT di laman mereka dengan sokongan padu lebih 20,000 peminatnya.

“Tapi kami datang dengan semangat berkobar-kobar untuk mencipta sejarah dan berjaya merealisasikan impian itu walaupun pada awalnya ketinggalan,” kata Tchetche seperti dilaporkan oleh MyMetro.

Walaupun menjaringkan dua gol dalam perlawanan tersebut namun beliau tetap memberikan pujian kepada rakan-rakan sepasukan. Oleh itu, beliau menuntut momentum ini diteruskan sehingga ke perlawanan akhir supaya dapat menjulang piala berprestij tanah air.

“Ini adalah usaha keras semua pemain yang beraksi dengan baik tanpa putus asa walaupun diasak hebat dan lawan meledak dua jaringan awal.

“Saya harapkan rentak kemenangan ini dapat diteruskan pada aksi akhir nanti, seterusnya menjulang trofi,” katanya yang akan memimpin pasukan bertemu Perak pada 27 Oktober nanti.

Kredit Foto: Terengganu FC

Topics