Lapan bulan gaji tertunggak, Manja Man akui perkara itu jejaskan kehidupannya

Ketua jurulatih Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Manja Man meluahkan rasa terkilan atas masalah tunggakan gaji bersama majikannya tidak menemui jalan penyelesaian dan mengakui perkara tersebut turut menjejaskan kehidupannya.

Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah memberikan tempoh kepada PFA untuk melunaskan tunggakan gaji tersebut kepada jurulatih dan juga pemain-pemain namun sehingga kini tiada sebarang bayaran dilakukan.

“Gaji saya tidaklah sebesar mana sebagaimana jurulatih pasukan lain tapi apabila tertunggak selama lapan bulan, sedikit sebanyak ia menjejaskan kehidupan saya.

“Malah, saya lebih bersimpati dengan nasib pemain, sudahlah gaji tidak sebesar mana, tertunggak pula. Mereka kini benar-benar tersepit sehingga sudah ada yang berdepan tindakan bank kerana gagal menjelaskan hutang kereta.

“Sehingga hari ini, tidak ada tanda-tanda PFA akan melangsaikan tunggakan itu walaupun FAM sudah mengeluarkan arahan pada 3 September lalu. PFA hanya membisu malah semua panggilan dan mesej saya kepada mereka tidak berjawab.

“Sebaliknya, saya diberitahu oleh seorang jurulatih skuad belia, pegawai persatuan itu mencabar supaya mereka mengadu kepada persatuan jurulatih (Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia),” jelas Manja seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

Jawatankuasa Status FAM dalam mesyuaratnya 27 Ogos telah mengarahkan PFA untuk melangsaikan tunggakan tersebut dalam masa 30 hari bermula 3 September lalu.

Jika PFA gagal membayar jumlah dinyatakan dalam tempoh yang ditetapkan, perkara ini akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi.

“Saya difahamkan Perlis boleh digantung daripada menyertai pertandingan musim depan jika masih gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji itu. Jika ia berlaku, ia adalah satu kerugian kepada bola sepak negeri  ini.” ujarnya lagi.

Kredit Foto: Perlis FA

Topics