Lee Tuck: Bapa, adik & abang saya akan terbang dari England untuk menonton final Piala Malaysia 2018

Menjelang pertemuan akhir saingan Piala Malaysia 2018, pemain tengah Terengganu Football Club (Terengganu FC), Lee Andrew Tuck bertekad untuk menjulang trofi berprestij bola sepak tanah air lebih-lebih lagi dengan kehadiran ahli keluarganya dari England yang akan memberikan sokongan di Stadium Shah Alam, 27 Oktober kelak.

Perlawanan akhir Piala Malaysia kali ini menemukan Terengganu FC dan Perak The Bos Gaurus (Perak TBG) setelah masing-masing mengatasi cabaran Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sabah di peringkat separuh akhir.

Mengulas mengenai pertemuan akhir nanti, Lee Tuck menyatakan bahawa setelah menyingkirkan juara bertahan Piala Malaysia, beliau bersama-sama rakan sepasukan sudah bersiap sedia untuk menghadapi The Bos Gaurus buat kali kelima musim ini. Dan kehadiran ahli keluarganya di pentas akhir tersebut akan menyuntik lebih semangat kepada beliau terutamanya.

“Tugas kami belum selesai lagi dan kami sudah bersedia untuk bertempur dengan Perak buat kali kelima musim ini. Perlawanan kali ini juga pastinya berbeza dan secara peribadi saya mahu tamatkan perjuangan dalam Liga M dengan noktah kejuaraan dan diingati sekali gus melakar sejarah peribadi dalam karier bola sepak.

“Lagipun bapa, adik dan abang saya dari England juga akan datang menyaksikan perlawanan akhir nanti,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

Semasa perlawanan menentang JDT di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin sabtu lalu, Lee Tuck berjaya membuat satu hantaran lintang cantik kepada kapten pasukan, Kipre Tchetche untuk gol pertama Terengganu FC.

Ketika ditanya bagaimana beliau dan rakan-rakan lain menghadapi perlawanan yang begitu dramatik dan berjaya bangkit walaupun setelah ketinggalan dua gol, beliau yang merupakan bekas pemain Negeri Sembilan menjelaskan keupayaan Terengganu FC untuk terus memberikan saingan sehingga wisel penamat ditiup menjadi rencah ramuan kejayaan tersebut.

Selain itu, kegigihan setiap pemain dan semangat berpasukan yang tinggi antara faktor-faktor tambahan buat kejayaan anak buah Irfan Bakti mengatasi cabaran Harimau Selatan di pertemuan separuh akhir lalu.

“Kami tidak panik dan tidak tertekan selepas JDT jaring dua gol awal, kami faham pasukan itu sangat bagus dan mereka akan terus memberi tekanan dan mencipta banyak peluang, tapi dalam masa sama kami juga tahu kami perlu menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol.

“Hasil kerja keras kami dengan corak bertahan sebagai satu pasukan dan bertenang ketika di depan gol ternyata ia berkesan,” katanya.

Kredit Foto: Terengganu FC

Topics