MFL belum terima makluman pembubaran Felcra FC

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) belum menerima apa-apa makluman berkenaan pembubaran pasukan naib juara Liga Premier 2018, Felcra FC seperti yang diumumkan oleh Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Mohd Nageeb Abdul Wahab.

Sebelum itu, Datuk Mohd Nageeb Abdul Wahab memaklumkan pasukan bola sepak Felcra yang berusia enam tahun itu akan dibubarkan kerana pasukan tersebut tidak mendatangkan keuntungan selain daripada penstrukturan kewangan syarikat tersebut kerana tidak lagi mendapat dana daripada kerajaan.

Dan menerusi sumber terdekat badan pengendali Liga Malaysia, MFL menyatakan bahawa mereka tidak menerima sebarang surat rasmi penarikan diri daripada saingan Liga Super musim hadapan daripada pasukan tersebut.

“Kami belum menerima sebarang maklumat mengenai pembubaran pasukan berkenaan,” kata sumber terdekat MFL ringkas kepada Bernama.

Dan Felcra FC mempunyai masa sehingga 15 November untuk mengesahkan penyertaan mereka dalam saingan Liga Super 2019 sekiranya pihak pengurusan The Rivals mahu mengubah keputusan.

Musim 2018 menyaksikan pasukan Felcra FC mengharungi saingan sulung dalam Liga Premier menggantikan Sime Darby FC yang menarik diri pada penghujung tahun lalu.

Walaupun ini merupakan musim pertama mereka dalam saingan ini, Tarcisio Pugliese berjaya membimbing The Rivals untuk menamatkan saingan Liga Premier 2018 ditangga kedua liga dibelakang Felda United FC.

Kejayaan ini memberikan mereka peluang untuk beraksi dalam saingan tertinggi bola sepak Malaysia, Liga Super pada musim hadapan buat pertama kali dalam sejarah penubuhan pasukan tersebut.

Kredit Foto: Felcra FC

Topics