Odegaard: Real Madrid sukar untuk pemain muda

Dia menyertai Real Madrid selepas namanya banyak diperkatakan, tetapi Martin Odegaard mendapati bahawa sukar baginya bersama juara Eropah itu.

Martin Odegaard terdesak untuk memulakan kariernya di Heerenveen selepas gagal untuk mendapatkan tempat di Real Madrid, menyedari bahawa Santiago Bernabeu bukanlah tempat yang mudah untuk pemain muda.

Pemain kebangsaan Norway itu menyertai Madrid dari Stromsgodset pada Januari 2015 dan menjadi pemain paling muda yang membuat penampilan pertama dalam sejarah kelab itu apabila dia beraksi dalam perlawanan menentang Getafe pada bulan Mei tahun itu berumur 16 tahun dan 157 hari.

Dia gagal untuk menyerlah selepas dimasukkan dan kebanyakannya membuat penampilan untuk Castilla sejak dua tahun lepas.

Pemain berusia 18 tahun itu kini memilih untuk menyambung kariernya di Heerenveen secara pinjaman selama 18 bulan dan dia teruja untuk mula beraksi dengan kelab Eredivisie itu.

"Real Madrid adalah kelab yang sangat hebat dengan ramai pemain yang ternama, jadi sukar untuk mendapatkan peluang beraksi bagi pemain muda seperti saya," kata Odegaard.

"Itu adalah sebab saya ingin mencuba sesuatu yang baru, untuk mendapatkan peluang bermain.

"Saya rasa Heerenveen adalah kelab yang baik. Saya telah bercakap dengan beberapa orang dari kelab itu dan juga dengan jurulatih. Saya sangat teruja dan saya rasa ini kelab yang baik untuk saya.

"Saya tidak menyesal dengan keputusan saya menyertai Real Madrid kerana saya telah beraksi dengan kelab terbaik di dunia. Hanya dengan berlatih di sana dan meningkatkan prestasi sudah cukup baik bagi pemain muda berbakat.

"Saya tidak melihat diri saya sebagai 'wonderkid'. Saya seorang remaja yang biasa dan saya tidak beri perhatian kepada kata-kata orang lain."