Pemain muda jadi taruhan PKNS FC harungi musim 2019

Pengurus Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC), Mahfizul Rashid mendedahkan perancangan skuad Semut Merah musim hadapan akan tertumpu kepada tonggak-tonggak muda selain mengekalkan seorang sahaja pemain ‘import’, Romel Morales berikutan faktor bajet yang terhad.

Justeru, keputusan yang dibuat itu akan menyebabkan mereka kehilangan pemain-pemain bintang kerana gaji yang ditawarkan jauh lebih rendah daripada musim ini demi memastikan perbelanjaan mereka tidak melebihi bajet yang ditetapkan.

Hal ini memungkin nama-nama seperti Safee Sali, Bruno Matos, Zachery Anderson, Rafael Ramazotti dan Faris Ramli tidak akan bersama-sama skuad kendalian Datuk K. Rajagobal musim akan datang.

“Kami telah membuat keputusan mengenai pemain yang akan digugurkan pada musim depan.

“Kami telah memaklumkan kepada mereka lebih awal agar memudahkan proses buat mereka mencari pasukan baru,” katanya seperti dilaporkan oleh Stadium Astro.

Berdasarkan perkhabaran yang dinyatakan, hanya Mahali Jasuli sahaja menjadi pemain paling senior dalam skuad tersebut bagi musim 2019 dan pemain-pemain lain dipilih daripada kalangan mereka yang pernah bermain bersama Harimau Muda B dan Harimau Muda C.

Walaubagaimanapun, pemilihan pemain yang akan menyarung jersi Semut Merah akan diberikan sepenuhnya kepada ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal berdasarkan karakter, kualiti dan prestasi semasa.

“Dia sesuai dengan corak yang diterapkan Rajagobal.

“Apapun, penilaian terakhir terletak kepada jurulatih berdasarkan karakter, kualiti permainan dan prestasi semasa para pemain,” katanya lagi.

Kredit Foto: PKNS FC

Topics