Piya harap KAFA tidak lepas tangan tunggakan gaji lima bulan

Pemain tengah Kelantan, Badhri Radzi berharap Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) akan menyelesaikan tunggakan gajinya sejak Mei lalu yang berjumlah lebih RM100,000.

Bekas Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia itu yang disisihkan dari skuad Kelantan tanpa ditamatkan kontrak berkata KAFA masih lagi berdiam diri mengenai tuntutan tunggakan gajinya dan jawapan balas yang diterima adalah mengecewakan.

“Mereka kata tiada duit untuk bayar, saya sudah menyerahkan perkara ini kepada PFAM (Persatuan Pemain Bolasepak Professional Malaysia) untuk tindakan lanjut. Saya harap ada penyelesaian terbaik dalam isu ini.

“Buat masa ini saya hanya menunggu kontrak tamat pada hujung bulan depan sebelum merancang halatuju seterusnya,” kata pemain yang popular dengan panggilan Piya itu sepertimana dipetik dari Labola Malaya.

Piya bagaimanapun belum pasti sama ada dia akan terus bermain ataupun menggantung but walaupun mengakui ada beberapa pasukan menyatakan minat secara tidak rasmi untuk menyunting khidmatnya.

“Kalau masih ada pasukan yang berminat mendapatkan khidmat saya, mungkin saya akan terus bermain. Kalau tidak, saya akan bersara dan tumpu kepada akademi bola sepak untuk anak-anak yatim yang akan diusahakan bersama Mawi (penyanyi) selain mengembangkan perniagaan wangian badan saya,” ujar Piya.

Piya dianggap sebagai ketua pasukan paling berjaya dalam sejarah bolasepak Kelantan di mana sejak kembali menyertai pasukan itu pada 2008 selepas semusim mewakili PDRM, dia membantu Kelantan menjulang semua kejuaraan domestik termasuklah kejayaan treble bersejarah (Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia) pada 2012.

Dia setia bersama The Red Warriors walaupun pernah beberapa kali cuba dilamar pasukan lain namun 2018 menjadi musim yang ibarat mimpi ngeri buatnya tatkala KAFA di bawah kepimpinan Bibi Ramjani Ilias Khan membuat keputusan menamatkan kontrak pemain secara besar-besaran ekoran krisis kewangan kritikal dan sebolehnya tidak menawarkan pampasan, atau membayar pampasan dengan jumlah minima yang hanya menguntungkan mereka.

Piya adalah salah seorang pemain yang mahu ditamatkan kontrak ketika saingan Liga Malaysia baru berlangsung beberapa perlawanan namun dia dilaporkan tidak bersetuju dengan jumlah pampasan yang tidak setimpal dan memilih untuk kekal.

Keengganan Piya itu menyaksikannya menjadi mangsa ‘penderaan mental’ oleh KAFA apabila dia bersama beberapa lagi pemain seangkatan seperti Amiridzwan Taj, Do Dong Hyun, Morgaro Gomis diketepikan daripada pasukan, tidak dibenarkan menjalani latihan bersama dan tidak dibayar gaji walaupun masih berkontrak.

Foto: Meezan Defella

Topics