Pogba: Saya tolak tawaran Barcelona dan Real Madrid

Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba memberitahu bahawa Barcelona dan Real Madrid juga berminat untuk menandatanganinya.

Paul Pogba memberitahu beliau telah menolak peluang untuk menyertai Barcelona dan Real Madrid untuk menyertai Manchester United kerana beliau merasakan tugasnya di Old Trafford masih belum selesai.

Pemain kebangsaan Perancis itu meninggalkan Juventus untuk United dengan perjanjian rekod dunia hampir £90 juta pada Ogos 2016, kembali kepada pasukan yang ditinggalkannya pada 2012, tetapi beliau berpeluang untuk meneruskan kariernya di LaLiga jika itu pilihannya.

"Saya kembali ke Manchester United kerana saya mempunyai beberapa sasaran. Ia satu cabaran yang besar buat saya," kata Pogba kepada SFR Sport.

"Saya boleh menyertai Real Madrid atau Barcelona, yang berminat untuk mendapatkan saya. Tetapi saya memilih untuk kembali ke United kerana saya mengikut gerak hati saya.

"Saya ingin memenangi piala dengan Manchester United, saya tidak pernah menang apa-apa di sini. Saya sentiasa memberitahu diri saya bahawa satu hari nanti saya akan kembali ke United. Saya sangat sayangkan kelab ini dan masih ada tugas yang belum selesai. Saya berpindah kerana saya ingin mendapat lebih banyak peluang untuk beraksi, tetapi saya merasakan perlu untuk selesaikan tugas saya di sini.

"Saya tidak fikirkan langsung tentang yuran perpindahan. Saya ke sini untuk bermain bola sepak."

Pogba telah menjadi salah seorang pemain penting di United selepas permulaan yang sukar, tetapi beliau kurang menyerlah dalam perlawanan dengan Liverpool dan telah menyebabkan sepakan penalti yang dijaringkan oleh James Milner pada awal perlawanan.