Presiden FAM sasarkan final Piala AFF, Sukan SEA

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin telah menetapkan sasaran buat dua pasukan utama Harimau Malaya iaitu skuad senior dan skuad bawah 23 tahun (B-23) masing-masing mara ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki dan temasya Sukan SEA 2019.

Beiau menjelaskan bahawa sasaran itu sebagai Indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan olehnya kepada ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe sejak beliau menduduki kerusi presiden sejak Julai lalu.

“Saya dah tetapkan lama, untuk Sukan SEA Filipina 2019 (kendalian Datuk Ong Kim Swee) dan Piala AFF Suzuki, kita mahu final. Saya sasar final untuk kejohanan di peringkat ASEAN, itu KPI saya.

“Tapi ingin saya jelaskan itu adalah KPI, kalau jurulatih tak capai, kita tunggu dulu laporan kerana mereka mungkin ada alasan kukuh…Bukan bermakna bila saya cakap final, saya tak akan baharui kontrak,” katanya di Wisma FAM seperti dilaporkan oleh Bernama.

Kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 akan bermula pada 8 November hingga 15 Disember ini dengan Malaysia telah diundi dalam Kumpulan A bersama-sama pasukan Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam.

Manakala Sukan SEA 2019 akan diadakan di Filipina pada 30 November hingga 10 Disember 2019 membabitkan skuad Harimau Muda kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Sebagai rekod, pada kejohanan Piala AFF 2016 lalu, Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan B bersama-sama Vietnam, Myanmar dan Kemboja hanya tamat di kedudukan ketiga peringkat kumpulan sahaja.

Dan skuad Malaysia B-23 pula berjaya mara ke perlawanan akhir Sukan SEA 2017 yang berlangsung di Kuala Lumpur, namun hanya berjaya meraih pingat perak apabila dikecewakan oleh jiran, Thailand.

Kredit Foto: FAM

Topics