Sathia suarakan kerisauan pemain asing lebih teruk berbanding pemain tempatan

Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan melahirkan kerisauan akan pasukan Malaysia mengambil pemain asing yang rendah kualitinya berbanding pemain tempatan sendiri.

Beliau menyuarakan kerisauan tersebut ekoran pembatalan peraturan 18 dalam Manual Liga Malaysia oleh Lembaga Pengarah Malaysia Football League (MFL) baru-baru ini.

Beliau yang juga ketua jurulatih Felda United turut menjelaskan bahawa pembatalan perkara tersebut ada kebaikan dan keburukannya. Sebagai contoh, kebaikannya memberikan lebih pilihan buat pasukan untuk memilih pemain namun menghadapi risiko menandatangani pemain yang tidak berkualiti.

Walaubagaimanapun, beliau mengharapkan barisan kejurulatihan dan pengurusan bijak dalam mengambil keputusan untuk membawa masuka mana-mana pemain asing supaya perkara tersebut dapat mencapai objektifnya iaitu meningkatkan permainan pasukan dan pemain tempatan.

“Pembatalan peraturan itu ada baik dan buruknya. Apa yang baik ia membuka peluang lebih ramai pemain import untuk beraksi dan lebih banyak pilihan buat pasukan kerana tiada lagi sekatan membabitkan kelayakan mereka.

“Namun, apa yang menjadi kerisauan adalah mengenai kualiti mereka sama ada berkualiti atau sekadar ditandatangani kerana harga mereka yang murah disebabkan beraksi di divisyen bawahan.

“Jika pengurusan membeli pemain berkualiti dengan harga rendah tak mengapalah. Apa yang saya takut jika kualiti pemain import jauh lebih teruk berbanding pemain tempatan sendiri.

“Apa pun, semuanya bergantung kepada kebijaksanaan jurulatih dan pengurusan untuk mengambil pemain import. Mungkin mereka boleh memantau terus pemain itu untuk melihat sama ada berkualiti atau hanya indah khabar daripada rupa,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

Terdahulu, MFL menjelaskan bahawa keputusan yang diambil oleh Lembaga Pengarah ini untuk memberikan peluang kepada pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia mendapatkan pemain asing dengan kos rendah seterusnya memperbaiki keadaan kewangan mereka disamping menyajikan aksi kompetitif.

Namun begitu, walaupun mereka telah diberikan ‘lampu hijau’ untuk mengambil mana-mana pemain tanpa mengira tahap divisyen pemain tersebut bermain, MFL menegaskan bahawa meraka wajib memperolehi visa dan permit kerja yang sah berserta sijil perpindahan antarabangsa (ITC).

Kredit Foto: Felda United FC

Topics