TCH tidak tertekan dengan sasaran FAM, akan umum senarai akhir minggu hadapan

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui tidak merasa tertekan dengan sasaran yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi kejohanan Piala AFF Suzuki yang akan bermula November ini dan akan mengumumkan senarai akhir pemain pada minggu hadapan.

Bagi diri Cheng Hoe, beliau sedia maklum akan kemahuan FAM yang ingin meningkatkan pencapaian sukan bola sepak Malaysia sejak menerima tugas selaku ketua jurulatih Harimau Malaya. Oleh itu, FAM yang dikemudi oleh Datuk Hamidin Mohd Amin bertindak meletakkan sasaran mara ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 seterusnya menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) buat dirinya.

“Sebagai jurulatih kebangsaan, saya menganggap KPI tersebut sebagai cabaran serta motivasi buat diri sendiri. Saya fikir, mana-mana jurulatih, apabila menyertai kejohanan sudah pasti mereka mahukan sesuatu (kejayaan) dan begitu juga saya.

“Saya tidak berasa sebarang tekanan dengan sasaran tersebut kerana ketika saya mengambil alih jawatan ini saya sudah pun tahu bahawa saya perlu menaikkan martabat bola sepak negara dan ini adalah sebahagian daripadanya,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Sejak mengisi kekosongan yang ditinggalkan Nelo Vingada, Tan Cheng Hoe dilihat begitu aktif memanggil pemain-pemain untuk menyarung jersi Harimau Malaya untuk diuji. Malah pelbagai perlawanan persahabatan antarabangsa “A” dirangka pada tahun ini bagi persiapan untuk menghadapi kejohanan dwitahunan rantau Asia Tenggara tersebut.

Ketika ditanya mengenai senarai akhir pemain untuk menyertai Piala AFF Suzuki 2018, beliau berkata akan menilai prestasi 56 pemain yang dipanggil sepanjang aksi perlawanan persahabatan diadakan dan bakal diumumkan pada minggu hadapan.

“Seramai 56 pemain didaftarkan dan daripada situ saya akan membuat senarai akhir. Minggu depan saya akan keluarkan,” katanya.

Senarai akhir yang dipilih oleh bekas jurulatih Kedah ini akan menghadapi satu perlawanan persahabatan antarabangsa “A” menentang Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 November. Mereka kemudiannya akan memulakan aksi sulung Piala AFF Suzuki 2018 menentang skuad kendalian Keisuke Honda, Kemboja di Phnom Penh.

Kali terakhir Malaysia menjulang Piala AFF Suzuki adalah pada tahun 2010 dibawah kendalian Datuk K. Rajagobal dengan menewaskan Indonesia secara agregat 4-2. Ketika itu, Tan Cheng Hoe merupakan penolong jurulatih kepada ‘King Gobal’.

Foto Kredit: FAM

Topics