Thierry Bin akui jatuh hati dengan keropok lekor & penyokong Terengganu

Penyokong yang baik dan masakan tempatan yang menyedapkan terutamanya keropok lekor di Terengganu menyebabkan pemain tengah kebangsaan Kemboja, Thierry Chantha Bin telah jatuh hati dengan negeri ini.

Beliau boleh dikategorikan sebagai ‘hero tak didendang’ buat skuad kendalian Irfan Bakti kerana lebih banyak tertumpu kepada tugas-tugas defensif dan melindungi barisan pertahanan Terengganu FC daripada ancaman lawan.

Ini terbukti dalam saingan separuh akhir Piala Malaysia di Kuala Terengganu dan Larkin dimana beliau tampil cemerlang mematikan serangan-serangan bertali arus pemain Johor Darul Ta’zim di kawasan tengah Terengganu FC.

Walaubagaimanapun, pemain kelahiran Perancis  ini tetap merendah diri dan memberikan kredit kepada rakan-rakan sepasukan atas kejayaan menyingkirkan juara bertahan Piala Malaysia, JDT.

Dengan perlawanan akhir yang semakin menjelang tiba, Thierry Bin mahu pemain-pemain Terengganu FC berusaha lebih gigih dan mempamerkan persembahan yang mantap apabila diturunkan menentang Perak TBG dalam perlawanan akhir nanti seterusnya mengulangi kejayaan skuad Terengganu 2001 yang menjulang piala berprestij tanah air.

“Setiap pemain mempunyai keistimewaan masing-masing, cuma perlu berusaha lebih keras lagi terutama ketika sesi latihan dan buktikan apabila mendapat peluang disenaraikan dalam kesebelasan pasukan.

“Justeru untuk final Sabtu ini bertemu Perak, selain membantu pasukan memenangi gelaran piala berprestij itu buat kali kedua dalam sejarah skuad TFC, saya juga memasang impian mahu mencipta sejarah peribadi lebih-lebih lagi ini musim pertama saya bermain dalam Liga Malaysia serta belum pernah lagi menggengam sebarang trofi.”

“Saya juga mahu hadiahkan kemenangan kepada isteri tercinta, Kate Sutherland yang banyak berkorban walaupun terpaksa berhijrah dari Kanada selain anak pertama yang bakal lahir pada April tahun depan serta saya juga sudah jatuh hati dengan Terengganu terutama penyokong yang baik serta masakannya sedap termasuk keropok lekor.

“Saya percaya rakan sepasukan mempunyai keazaman yang sama berjuang habis-habisan hingga minit terakhir perlawanan sebagaimana ketika bertemu JDT tempoh hari apabila berjaya menyamakan kedudukan pada masa kecederaan,” kata Thierry Chantha Bin kepada Berita Harian.

Kredit Foto: Terengganu FC & Cambodia FF

Topics