Thierry Chantha Bin mahu cipta sejarah bersama Terengganu FC

Pemain tengah Terengganu Football Club (TFC), Thierry Chantha Bin menegaskan bahawa beliau mahu mencipta sejarah bersama pasukannya untuk mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia seterusnya menjulang piala tersebut sepertimana yang dilakukan oleh skuad pantai timur itu pada tahun 2001.

Itulah yang diluahkan oleh pemain import dari Kemboja, Chantha Bin menjelang aksi timbal balik separuh akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Sabtu, 20 Oktober di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin.

Terdahulu, TFC hanya membawa bekalan tipis menjelang aksi kedua apabila hanya mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas JDT di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada sabtu lalu.

Oleh itu, Chantha Bin melaungkan bahawa beliau dan rakan-rakan akan turun ke Stadium Larkin dengan memberikan segala-galanya untuk memastikan impian ke perlawanan akhir tercapai.

“Kami mahu mencipta sejarah dan membanggakan penyokong. Selepas kali terakhir muncul juara pada 2001, kita tidak menang lagi piala ini, jadi kita akan ke sana seperti askar nak berperang dan akan memberikan segalanya menang.

“Kami tiada tekanan berbanding JDT,” kata Chantha Bin seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

“Kami sudah bersedia sepenuhnya untuk mengulangi pencapaian mara ke pentas akhir dan menjulang trofi itu seperti musim 2001.” tambahnya lagi.

Selain itu, Chantha Bin yang mula bermain dalam saingan Liga Malaysia bersama Terengganu FC di atas kuota pemain ASEAN mahu merakamkan memori untuk menjulang piala dalam musim sulungnya ini.

“Ini kali pertama saya bermain dalam Liga Malaysia (Liga M) dan sudah tentu saya mahu abadikan kenangan indah mara ke final dan seterusnya merangkul piala.

“Kelebihan kita adalah semangat juang yang tinggi malah kita juga saling berkorban seperti satu keluarga dan berharap penantian skuad kami untuk mara ke final akan berakhir musim ini,” katanya.

Kredit Foto: Terengganu FC

Topics